KUANTAN – Pentadbir media sosial bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan sokongan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, Himpuan Hogoh Jelai yang dijadualkan hari ini di Sungai Koyan oleh pembangkang tidak melibatkan sokongan anak tempatan.
Menerusi kenyataan di Facebook Demi Najib, pihaknya menasihati agar semua pihak tidak terpedaya dengan agenda itu selain mempersoalkan adakah anak tempatan yang berceramah di Jelai.
“Seperkara lagi nak bagitahu anda Tok Wan (Wan Rosdy) anak jati Jelai dia dilahirkan Tanjung Gahai. Yang datang besok (hari ini) berceramah itu orang Jelai ke? Jangan terpedaya dengan (agenda) tukar kerajaan.
“Kenapa admin pilih Tok Wan? Sebab Tok Wan adalah insan dan pemimpin UMNO yang tidak takut untuk pertahankan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Menurutnya, Wan Rosdy tidak takut kehilangan jawatan semasa beliau menyatakan surat titah addendum kepada Najib itu wujud.
Namun sebaliknya pembangkang yang berceramah dalam program Hogoh Jelai antara orang yang bertanggungjawab ‘menyumbat’ Najib ke Kajang.
“Adakah anda menyokong orang yang sumbat Najib ke penjara? Maaflah Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah org yang berkerjasama dengan (Tun) Dr. Mahathir Mohamad semasa selepas PRU-14.
Jelasnya, Pahang sudah cukup membangun di bawah pentadbiran Menteri Besar Pahang sekarang.
Pertumbuhan ekonomi jelas sangat efisien di bawah pentadbiran Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai dengan membuktikan pendapatan kerajaan negeri melepasi RM1 billion pada lima tahun berturut-turut.
“Cuba lihat Negeri di bawah PN (Perikatan Nasional) berapa pertumbuhan ekonomi mereka? Air di Kelantan pun Pas tak boleh nak selengarakan walhal sudah mentadbir Kelantan lebih dari 20 tahun.
“Apa yang boleh dibanggakan Negeri yang dikelola oleh PN?
“Jangan terpedaya dengan janji bulan dan bintang dan satu lagi esok (hari ini) jangan lupa tin Milo akan bergerak di Hogoh Jelai nanti,” katanya.
Program Hogoh Jelai anjuran PN dijangka berlangsung di Jalan Betau – Cameron Highlands dekat Sungai Koyan bermula 9 malam ini.
Selain Muhyiddin, antara pimpinan utama PN dijadualkan hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – MalaysiaGazette
















