Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Dalam politik Malaysia pasca-PRU15, perkataan stabil bukan sekadar slogan. Stabil dan kestabilan adalah prasyarat yang cukup penting bagi memastikan negara terus bergerak ke hadapan. Bagi memastikan kestabilan ini kekal dan tidak tergugat, ia memerlukan kepada peranan banyak pihak dan di segenap peringkat.

Dalam konteks ini, peranan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat dinafikan. Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), beliau muncul sebagai antara tokoh utama yang memastikan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal teguh, berfungsi dan berdaya saing.

Ya, Zahid bukan sahaja memainkan peranan sebagai pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan. Malah turut berperanan sebagai pengimbang politik antara pelbagai blok ideologi yang membentuk Kerajaan Madani. Ketika banyak pihak menjangka gabungan ini akan rapuh dan sukar bertahan, realitinya berbeza. Malaysia kekal stabil. Antara sebab utamanya ialah pendekatan kepimpinan Zahid yang matang.

Sejak awal pembentukan kerajaan perpaduan, Zahid yang juga Presiden UMNO berperanan sebagai jambatan antara blok politik yang sebelum ini saling berentangan. Beliau menolak pendekatan konfrontasi, sebaliknya membina semangat saling percaya di antara BN, PH dan GPS. Dalam beberapa kenyataannya, Zahid menegaskan bahawa kestabilan kerajaan bukan semata-mata bergantung pada angka majoriti di Parlimen. Namun ia terletak kepada kejujuran dan komitmen setiap pemimpin untuk mengutamakan rakyat berbanding kepentingan parti.

Neokolonisme politik

Ketika berucap dalam satu forum Barisan Nasional di ibu negara pada 29 Ogos 2025, Zahid Hamidi perlunya ‘menyahkan neokolonialisme politik’. Ya, ungkapan yang diterjemahkan pada forum yang bertemakan Kemerdekaan Dan Cabaran Kolonialisem Baru itu mempunyai satu makna yang sarat.

Memahami apa yang diucapkan itu memerlukan penghayatan yang mendalam. Bahawa ia bukan hanya tentang menolak dominasi kuasa luar, tetapi juga seruan untuk membebaskan minda politik tempatan daripada pengaruh ideologi asing yang memecahbelahkan.

Intipatinya, bahawa Malaysia mesti kembali kepada nilai sendiri, menegakkan politik yang berpaksikan kedaulatan dan maruah nasional. Bagi Zahid, idealisme ini bukan romantisme sejarah. Bahkan lebih daripada itu, ia merupakan asas dan teras bagi membina semula jati diri politik negara. Idealisme tidak hanya khayalan semata-mata.

Idealisme

Ya, idealisme perlu diterjemahkan dalam dasar yang lebih dekat dengan rakyat. Melalui KKDW, Zahid menumpukan usaha memperkukuh pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET). Beliau berulang kali menyatakan bahawa kemajuan luar bandar tidak boleh bergantung kepada bantuan semata-mata, tetapi mesti dibina atas keupayaan manusia.

Pendekatan ini sejajar dengan idealisme beliau tentang pembangunan bermaruah. Zahid komited untuk  membina masyarakat yang mampu berdikari dan menyumbang kepada ekonomi negara. Bahkan beliau sendiri pernah menekankan pentingnya TVET sebagai tulang belakang tenaga kerja masa depan. Ia menjadi satu pandangan yang menukar idealisme menjadi strategi praktikal.

Di bawah kepimpinan beliau, pendekatan TVET Desa menjadi teras transformasi sosioekonomi luar bandar. Zahid menegaskan bahawa pembangunan bukan sekadar membina jalan dan bangunan, tetapi membina manusia. Melalui program TVET, komuniti desa kini berpeluang melangkah ke bidang teknikal dan keusahawanan moden, sejajar dengan keperluan pasaran tenaga kerja baharu.

Kesinambungan idealisme di pentas antarabangsa

Kesinambungan idealisme Zahid turut terlihat di pentas antarabangsa. Dalam lawatannya ke Kemboja pada pertengahan Ogos 2025, melambangkan usaha Malaysia memperkukuh hubungan ASEAN berdasarkan saling hormat dan kerjasama serantau. Zahid menegaskan kepentingan diplomasi yang berakar pada solidariti serantau, bukan sekadar kepentingan ekonomi jangka pendek. Pandangan ini seiring dengan gagasan politik berjiwa Asia Tenggara yang boleh ditonjolkan.

Ia berbentuk satu idealisme yang melihat Malaysia bukan hanya dalam konteks domestik, tetapi sebagai pemain bermaruah di pentas global. Maka tidak mustahil lawatan beliau ke Kemboja berkenaan bukan sekadar misi diplomatik, tetapi usaha membina rangkaian kerjasama ASEAN dalam bidang ekonomi desa dan kemahiran teknikal. Beliau menekankan bahawa Malaysia mesti menjadi rakan strategik yang dihormati, bukan sekadar pengikut arus global.

Cabaran

Dalam konteks politik Malaysia yang sering berubah-ubah, pemimpin seperti Zahid dilihat punya peranan dalam memastikan kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran. Keupayaannya menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa menjadikan beliau antara tokoh yang memahami kepentingan kompromi dan kesederhanaan dalam membina kerajaan campuran.

Namun, keberkesanan sebenar dasar dan kepimpinan hanya boleh dinilai melalui hasil jangka panjang sama ada mampu memperkukuh kesejahteraan rakyat atau sekadar menjadi agenda sementara. Dalam hal ini, Zahid berdepan cabaran besar untuk membuktikan bahawa kestabilan yang dibina bukan sekadar bersifat politik. Kestabilan tanpa kemajuan hanya akan menjadi keseimbangan sementara. Inilah ujian sebenar terhadap kredibiliti kepimpinan dalam kerajaan perpaduan.

Akhirnya, peranan Zahid perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas, bukan semata-mata sebagai individu, tetapi sebagai sebahagian daripada ekosistem kepimpinan negara. Malaysia memerlukan tokoh yang mampu meredakan ketegangan politik serta menterjemah kestabilan politik kepada hasil ekonomi dan sosial yang jelas. Sama ada Zahid berjaya mengisi ruang itu sepenuhnya atau tidak, ia bergantung kepada sejauh mana gagasan dan dasar yang digerakkannya dapat memberi manfaat nyata kepada rakyat.

Oleh Sofian Resali, Penulis buku biografi dan politik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast