KUALA LUMPUR – Golongan ibu bapa mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan semula kuasa rotan kepada guru-guru di sekolah sebagai langkah mendidik dan membentuk sahsiah.
Kesediaan ibu bapa terhadap kuasa rotan itu susulan beberapa kes berat melibatkan moral dan disiplin para pelajar yang sangat membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, seorang ibu, Fazila Abd Wahab, 45, berkata, prosedur operasi standard hukuman tersebut perlu berasaskan had dan garis panduan yang ditetapkan, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan oleh pelajar.
Beliau tidak dinafikan hukuman rotan memberi kesan positif kepada pelajar supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar disiplin sekolah dan melakukan kesalahan.
“Pandangan saya hukuman merotan perlu dikembalikan di sekolah, kalau zaman dulu di sekolah ada masalah disiplin cikgu akan rotan.
“Dan, apabila kita membesar, kita menghargai tindakan itu kerana ia membentuk diri sebab kita takut kena rotan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelasnya, berbeza dengan pelajar sekarang yang tidak pernah merasai rotan, sukar dibentuk dan tidak beradab.
Fazila berkata, walaupun rotan memberi pelbagai gambaran tetapi pelajar yang pernah dirotan mempunyai kesedaran untuk melakukan kesalahan berulang.
“Zaman dulu cikgu rotan, kita takut dan tidak mahu mengulangi kesalahan. Sekarang lain pula jadi murid tidak hormat kepada guru,” tambahnya yang pernah dirotan kerana tidak menyiapkan kerja rumah.
Katanya, walaupun ia pengalaman yang tidak menyeronokkan namun hukuman itu membuatkan pelajar bimbang untuk mengulangi kesalahan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru ibu bapa supaya memberi peluang dan ruang sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah mendidik anak-anak agar menjadi manusia berguna.
“Biarlah anak-anak kita cerdik dan beradab. Ibu bapa bagi peluang kepada guru mendidik, jadi rotan biar bertahap. Tidak salah pun merotan dengan hadnya, kena ada SOP bukan sampai berdarah,” tambahnya.
Seorang bapa, Muhamad Rohaizad Rahmat, 38, turut menyuarakan berpendirian sama kerana kuasa rotan mempunyai impak positif kepada pelajar dalam pembentukan sahsiah.

Katanya, hukuman rotan boleh mendidik pelajar untuk berhati-hati dalam melakukan perkara yang melampau.
“Zaman dulu belajar, cikgu memang tidak lepas rotan dari tangan. Pelajar yang ada kesalahan disiplin pun tidak akan terlepas daripada rotan atau denda di khalayak atau di perhimpunan.
“Biasanya selepas itu buat pelajar takut untuk mengulangi perkara yang sama. Saya sendiri pernah kena rotan.
“Hukuman itu sebenarnya membentuk kita untuk sentiasa berdisiplin, jaga sahsiah diri,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Siti Normala Mohd Osman, 46, meskipun hukuman rotan wajar dikembalikan di sekolah namun tanggungjawab ibu bapa memberi didikan terbaik buat anak-anak dari rumah.

Menurutnya, ibu bapa harus sedar bahawa pendidikan bermula dari rumah dan karakter anak adalah cerminan didikan yang diterima di rumah.
“Hukuman rotan itu tidak ada masalah bergantung kepada kesalahan sebab kita dulu pun ada kena rotan. Dalam Islam pun penggunaan rotan dibenarkan, tapi pada ibu bapa juga kena tegas dengan anak-anak,” katanya.
Siti Normala menambah, jika kuasa rotan dikuatkuasakan semula, ibu bapa perlu berlapang dada untuk menerima jika anak mereka dihukum.
Ibu bapa tidak boleh menyalahkan guru yang memberi hukuman kepada anak-anak di sekolah.
“Kalau ibu bapa yang buat laporan polis, viral anak kena hukum di sekolah kena siasat kesalahan anak mereka betul-betul. Bincang dulu dengan cikgu dan pihak sekolah, bukan kita yang kata boleh dan tidak, (terima hukuman),” katanya.
Beliau turut meminta semua ibu bapa perlu mengawal akses media sosial yang berisiko menyumbang kepada pengaruh negatif kepada anak-anak ketika di rumah.
“Penggunaan telefon bimbit, peranti pun sama juga kena kurangkan, penggunaannya kena kawal di rumah,” katanya lagi.
Sementara itu, Muhamad Yusuf, 53, berkata, semua ibu bapa perlu tahu bahawa tugas mendidik sebenarnya bermula dari rumah, bukan di sekolah.

Ujarnya, peranan dan tanggungjawab guru hanya di sekolah dan mereka juga terikat dengan tugas hakiki, selain peraturan sedia ada dalam mendisiplin para pelajar.
“Sekarang ini semua pihak tertumpu di sekolah. Sedangkan pembentukan disiplin dan moral pelajar sepatutnya bermula dari rumah. Sepatutnya ibu bapa lebih mengambil berat tentang anak-anak.
“Guru hanya menyambung apa yang ibu bapa amanahkan di sekolah, itu pun tertakluk kepada peraturan.
“Guru tak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan kepada murid, ada akta yang telah dikuatkuasakan,” katanya. -MalaysiaGazette
















