KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam yang memutuskan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu menjalankan satu lagi kajian semula berhubung Pemberian Khas kepada Negeri Sabah bagi tempoh tahun 1974 hingga 2022.
“Jabatan Peguam Negara akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah menerimanya kelak sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” jelas kenyataan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara perkara yang menjadi pertikaian ialah tafsiran undang-undang ke atas Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai hak kewangan Sabah sebagai salah satu negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Keputusan tersebut dilihat sebagai satu perkembangan penting dalam usaha menuntut hak-hak kewangan yang lebih adil bagi Sabah, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia.
Kelmarin, mahkamah tersebut memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas 40 peratus hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Arahan itu dikeluarkan selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah berkaitan hak perlembagaan negeri itu untuk menuntut 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
Kes berkenaan tertumpu kepada tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan — Perkara 112C menyentuh geran khas serta agihan hasil kepada Sabah dan Sarawak, manakala Perkara 112D menetapkan semakan berkala terhadap geran berkenaan.- MalaysiaGazette
















