ACP Mohd Azam Ismail

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera selepas terlibat dalam satu insiden pergaduhan dengan seorang individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Pandan Indah, Ampang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 petang ketika mangsa sedang mengisi minyak di Stesen Minyak Petron Pandan Indah 1.

Menurut beliau, suspek yang menaiki sebuah lori telah menuduh mangsa memotong giliran untuk mengisi minyak, namun mangsa menafikan dan menjelaskan bahawa dia berada di pam yang berbeza.

“Selepas membuat bayaran, suspek telah menghampiri mangsa dan berlaku pertengkaran antara mereka. Suspek kemudian menyentuh hidung mangsa dengan jarinya sebelum mengeluarkan satu objek berwarna merah yang tidak dikenal pasti dari seluarnya dan mencucuk ke arah hidung mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.

“Pergelutan antara kedua-dua mereka mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan luka pada hidung, tangan kiri serta bengkak di bahagian belakang kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, orang awam yang berada di lokasi kejadian telah bertindak meleraikan pergaduhan tersebut sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian.

Polis kini sedang mengesan suspek yang masih bebas dan dipercayai memandu sebuah lori semasa kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri atau terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast