KUALA LUMPUR – Seorang rakan Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, pendaki yang maut di Gunung Liang ketika menyertai ekspedisi Trans Slim dari Bukit Fraser menuntut dua malim ekspedisi itu memberikan penjelasan berhubung insiden yang berlaku.
Muhammad Hasif Roslan, 34, yang juga rakan allahyarham ketika bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Balik Pulau, Pulau Pinang membangkitkan persoalan mengenai peranan yang sepatutnya dimainkan dua malim terbabit.
“Di mana peranan ketua malim untuk merancang perjalanan supaya kumpulan tidak berpecah dan tindakan selepas komunikasi terputus?
“Kenapa ketua malim tidak buat SAR selepas 12/24 jam ada peserta yang tidak tiba lagi di finishing line?
“Adakah benar beliau tiba sehari awal (selasa Subuh) di bawah dan tiada apa-apa tindakan diambil malah, meninggalkan tempat tersebut dan terus pulang ke Pahang pada Selasa juga?
“Kenapa sweeper boleh meninggalkan mangsa seorang diri, sedangkan tanggungjawab beliau untuk memastikan semua peserta berada di hadapan beliau bukan sebaliknya?,” soal beliau menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu Muhammad Hasif meluahkan perasaan setelah ramai yang bertanya mengenai insiden yang dialami oleh arwah.
Jelas beliau, pada awalnya dia memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut bagi memberi tumpuan kepada proses pengebumian Allahyarham yang berjalan dengan lancar dan sempurna.
Bagaimanapun katanya, setelah melihat pelbagai spekulasi yang tular di media sosial, ia telah mendorong mereka tampil memberikan penjelasan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pertemuan dan perbualan bersama peserta lain yang turut berada di hospital.
“Kami terpanggil untuk berkongsi sedikit sebanyak perkara yang kami tahu, hasil pertemuan dan perbualan bersama peserta hiking yang lain di hospital,” ujarnya.
Kata beliau, perkongsian itu diharap dapat memberi gambaran yang lebih jelas kepada semua pihak yang masih tertanya-tanya mengenai apa yang berlaku.
“Tiada lain yang kami sebagai rakan-rakan, dan keluarga arwah harapkan, selain pembelaan yang seadil-adilnya,” tambah mereka lagi.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Terdahulu MG Perak melaporkan, seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mendaki gunung dari Bukit Fraser, Pahang ke Gunung Liang sejak dua hari lalu ditemukan maut petang Khamis.
Allahyarham Mustaqqeem dari Sungai Petani, Kedah, ditemukan tidak sedarkan diri di puncak Gunung Liang Barat kira-kira pukul 3.30 petang selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Laporan bedah siasat ke atas Allahyarham mendapati beliau meninggal dunia akibat kesejukan melampau atau hipotermia. -MalaysiaGazette
















