NEW YORK – Dianggarkan ratusan ribu penunjuk perasaan berhimpun membantah pentadbiran Presiden Donald Trump dalam perarakan besar-besaran bertemakan “No Kings” di Midtown pada hari Sabtu.
Protes yang diadakan merentasi setiap negeri itu mendesak agar dasar pemerintahan autokratik Trump dihentikan segera.
Perhimpunan itu bermula di Times Square, dengan para peserta membawa sepanduk bertulis “No Kings make the world a better place” dan “Trump is a traitor”, berbaris sepanjang beberapa blok sambil berarak ke Union Square di tengah-tengah Manhattan, lapor New York Daily News.
Protes “No Kings” juga digelar sebagai “hari penentangan nasional” terhadap Trump dan dasar imigrasinya yang keras turut diadakan di setiap daerah New York serta di seluruh Amerika Syarikat.
Perhimpunan pertama “No Kings” pada bulan Jun lalu bertepatan dengan hari lahir Trump dan perarakan tenteranya di Washington, dengan kehadiran sekitar 50,000 peserta di New York City.
Menurut pegawai bandar, jumlah penunjuk perasaan pada Sabtu meningkat dua kali ganda berbanding protes pertama.
Penunjuk perasaan mendakwa tiada banyak perubahan dalam tempoh empat bulan lepas, sambil menyatakan kemarahan terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai “perang pentadbiran Trump terhadap sistem pengangkutan awam New York”.
Ini termasuk arahan pihak berkuasa Persekutuan baru-baru ini supaya projek laluan bas 34th Street dihentikan, operasi ICE (penguatkuasaan imigresen) yang berterusan, dan cubaan yang kini digugurkan untuk menarik balik jutaan dana antikeganasan daripada polis New York.
“Saya terkejut dengan apa yang berlaku di negara ini. Saya tak percaya. Saya rasa seperti hidup di era Nazi, macam dalam filem fiksyen sains dan tiada siapa buat apa-apa,” kata Lisa seorang penunjuk perasaan berusia 73 tahun.
Lisa menuduh Trump menindas pendatang dan golongan terpinggir “tanpa sebab yang munasabah”, sambil menambah: “Yang paling saya kesalkan ialah Kongres membiarkan dia berbuat sesuka hati. Trump tetap Trump, dia tak ada etika, tak ada moral. Tapi bila Kongres biarkan dia terus begini, itulah yang paling menyakitkan hati saya.
Penduduk asal Upper West Side, Robbi Conal, 81 tahun, yang membawa lukisan minyak Trump dengan perkataan “Dick Tater” (diktator), berkata pentadbiran Trump sedang “memusnahkan Amerika”.
“Saya perjuangkan rakyat biasa dan golongan pekerja, tapi Trump cuma peduli pada bilionair, kroni dan geng teknologi, bukan rakyat yang terkesan akibat dasar korupnya,” kata Conal.
Pada perhimpunan pertama “No Kings” musim bunga lalu, kira-kira 100 orang ditahan, namun kali ini polis New York melaporkan tiada sebarang tangkapan.
“Lebih 100,000 orang di kelima-lima daerah New York berhimpun secara aman menggunakan hak perlembagaan mereka, dan NYPD tidak membuat sebarang tangkapan berkaitan protes,” menurut kenyataan jabatan itu di platform X.
Madeline Scheffler, 38 tahun, menaiki kereta api dari New Rochelle ke Midtown untuk menyertai perarakan bersama anak perempuannya Eloise yang berusia enam tahun.
Scheffler pula berkata: “Anak saya sepatutnya berada di rumah sedang mewarna atau bermain di taman, tapi saya rasa penting untuk tunjuk kepadanya bahawa masih ramai orang yang berkongsi nilai yang sama dengan kami.
“Kami percaya negara ini ada ruang untuk semua, dan keluarga tak patut dipisahkan. Pemimpin yang kita pilih seharusnya lebih mengutamakan rakyat daripada diri mereka sendiri tapi itu tak berlaku sekarang, di mana-mana peringkat kerajaan,” katanya. – Agensi
















