Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat sebaik siasatan polis dan forensik selesai kira-kira 1.50 pagi di lokasi kejadian.

SEBERANG PERAI – Seorang jiran tidak menyangka kedatangan seorang lelaki berbaju kerja sambil membawa topi keledar ke rumahnya rupa-rupanya untuk memaklumkan isteri serta anak perempuan mereka mati dibunuh dalam kejadian di Kampung Sekolah, Juru di sini, malam tadi.

Jiran yang ingin dikenali sebagai Ida, 51, berkata, lelaki itu memberi salam dua kali sebelum memberitahu isterinya berumur 51 tahun dan anak berusia 11 tahun telah dibunuh.

“Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan masih memakai pakaian kerja dan memegang topi keledar ketika datang ke rumah sebaik azan Maghrib.

“Saya tergamam, bulu roma meremang, tak tahu nak cakap apa bila dia maklum dua beranak dibunuh. Dia tanya sama ada saya nampak kereta mencurigakan masuk rumahnya yang terletak bertentangan jalan dengan rumah saya.

“Apabila saya maklumkan baru saja pulang kerja dan tak tahu atau dengar sebarang kejadian mencurigakan, air muka dia nampak sebak sebelum beredar semula,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Seorang lagi jiran yang ingin dikenali sebagai Ideris, 61, berkata, mangsa wanita yang dikenali sebagai Su, telah menyewa di rumah itu bersama keluarga sejak dua tahun lalu.

“Pasangan itu jarang berbual dengan jiran kerana keluar bekerja awal pagi dan pulang ikut syif.

“Cuma pada awal tahun ini, keluarga tersebut jemput orang kampung hadiri majlis kahwin anak perempuan mereka dan tiada insiden mencurigakan atau pertengkaran dilihat antara mereka sebelum atau sebelum majlis tersebut,” katanya.

Tambah Ideris, sepanjang puluhan tahun menetap di kampung berkenaan, ini merupakan kali pertama kejadian pembunuhan berlaku.

“Kalau ada kes pecah rumah pun dah lama sangat. Kami tak pernah rasa takut duduk sini sebelum ini,” katanya juga pesara.

MalaysiaGazette semalam melaporkan dua beranak ditemui mati dalam satu pembunuhan kejam di rumah sewa mereka.

Mayat wanita ditemui di bahagian dapur tingkat bawah rumah dengan keadaan kepalanya hampir putus manakala anaknya pula, meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu itu.

Mayat mereka ditemui suami mangsa sekitar jam 7.30 malam. – MalaysiaGazette

Ibu, anak mati dipercayai dibunuh di rumah sewa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast