Keadaan pesawat kargo yang terjunam ke laut selepas tergelincir dari landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. foto: media sosial

HONG KONG – Sebuah pesawat kargo tergelincir dari landasan dan terjunam ke laut di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, mengorbankan dua orang, menurut laporan media tempatan.

Pesawat Emirates penerbangan EK9788, yang dikendalikan oleh Aerotranscargo, tiba dari Dubai sekitar jam 3.50 pagi waktu tempatan (7.50 malam GMT) apabila ia melanggar sebuah kenderaan di landasan utara.

Menurut kenyataan Jabatan Penerbangan Awam Hong Kong, dua kakitangan darat lapangan terbang terjatuh ke laut selepas perlanggaran tersebut.

Mereka berjaya diselamatkan namun meninggal dunia di hospital, lapor media termasuk penyiar awam RTHK yang memetik sumber polis.

Kesemua empat kru penerbangan terselamat dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Landasan yang terjejas kini ditutup sementara,tetapi dua landasan lain masih beroperasi seperti biasa.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong dijadual mengadakan sidang media pada jam 10 pagi (2.00 pagi GMT) bagi memberi maklumat lanjut mengenai kejadian.

Laporan juga menyebut Perkhidmatan Penerbangan Kerajaan Hong Kong telah mengerahkan helikopter ke kawasan kejadian, manakala kapal Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menyertai operasi menyelamat.

Insiden ini dianggap amat jarang berlaku, memandangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong mempunyai rekod keselamatan yang cemerlang sebelum ini.

Dalam kenyataan terbaharunya, Emirates mengesahkan bahawa penerbangan EK9788 yang mengalami kerosakan ketika mendarat di Hong Kong pada 20 Oktober 2025 merupakan pesawat kargo yang disewa secara ‘wet lease’ daripada dan dikendalikan oleh ACT Airlines.

Katanya, pesawat jenis Boeing 747-400 dengan nombor pendaftaran TC-ACF itu tidak membawa sebarang kargo pada waktu kejadian.

Kesemua empat anak kapal di dalam pesawat disahkan selamat dan sedang menerima rawatan perubatan.

“Emirates merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan sekerja dua kakitangan lapangan terbang yang terkorban di kawasan kejadian.

“Emirates kekal bersedia untuk memberikan kerjasama dalam siasatan sekiranya diperlukan,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, pengendali pesawat, ACT Airlines, bersama pihak berkepentingan lain, sedang memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang dijalankan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast