KUALA LUMPUR – Pas berharap sambutan Hari Deepavali yang dirayakan hari ini akan membawa kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Deepavali yang turut dikenali sebagai Pesta Cahaya adalah juga peringatan kepada manusia bahawa cahaya akan tetap mengatasi kegelapan dan kebaikan mengungguli kejahatan biar bagaimana sukarnya keadaan atau betapa besarnya cabaran yang dihadapi.
Sehubungan itu, tambahnya, Pas mengajak semua pihak menyuburkan semangat dan harapan abadi ini dalam kehidupan seharian bersama sebagai sebuah keluarga besar kemanusiaan yang sentiasa berpihak dan berpegang kepada nilai-nilai kebaikan, kejujuran, keadilan, kasih-sayang dan kebenaran yang disimbolkan oleh `Cahaya’ itu sendiri.
“Dalam pada itu, dalam kemeriahan sambutan perayaan tahunan ini, tidak harus juga dilupakan anggota masyarakat kita yang kurang bernasib baik atau berdepan kesukaran agar kehangatan dan gemilang Cahaya itu akan turut dirasai dan meliputi semua,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
















