KUALA LUMPUR – Bicara kes saman fitnah RM150 juta Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam, esok.
Prosiding itu akan didengar selama tiga hari di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Donald Joseph Franklin pada 21, 23 dan 29 Oktober ini. Bekas Perdana Menteri akan hadir pada prosiding tersebut.

Dalam samannya yang difailkan pada 3 Mei 2023, Dr. Mahathir selaku plaintif mendakwa Anwar mencemarkan reputasinya dengan menuduh beliau bersikap rasis serta mengkayakan diri dan ahli keluarganya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
Beliau menuntut ganti rugi teladan sebanyak RM100 juta dan ganti rugi am sebanyak RM50 juta, selain permohonan maaf secara bertulis dan satu sidang media khas atas kenyataan yang dibuatnya.
Dalam pada itu, Anwar dalam penyataan pembelaan pada 14 Jun 2023 berkata, saman Dr. Mahathir adalah untuk melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika itu.
Pada pengurusan kes 18 Ogos lalu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr. Mahathir memohon tarikh perbicaraan yang sepatutnya bermula keesokannya, ditangguhkan.
Beliau mencadangkan tarikh baharu kerana terdapat isu yang belum selesai serta penyerahan dokumen tambahan yang masih belum disempurnakan.
“Saya sudah memfailkan sijil perakuan segera untuk mempercepatkan perbicaraan dan saya memohon mahkamah mengambil kira faktor usia anak guam saya,” ujarnya.
Peguam Anwar, Ranjit Singh tidak membantah dan mengakui permohonan Dr Mahathir adalah wajar memandangkan faktor usianya.
Bekas Perdana Menteri dua kali itu ketika ditemui pihak media selepas pengurusan kes, turut mahukan bicara kes saman itu disegerakan kerana mahu membersihkan namanya secepat mungkin.
Dr. Mahathir menyaman Anwar atas kenyataan yang dibuat pada Kongres PKR pada 18 Mac 2023 yang didakwa berbaur fitnah bertujuan menjatuhkan reputasinya.
Dr. Mahathir juga berkata bahawa kenyataan Anwar dibuat atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan oleh itu, mempunyai kesan yang jauh lebih teruk ke atasnya daripada kenyataan serupa yang dibuat oleh rakyat biasa.
Beliau berkata kenyataan itu bertujuan untuk menjejaskan reputasinya kerana ia dilihat dan didengari oleh ramai orang seterusnya mencemar statusnya sebagai negarawan dan bekas Perdana Menteri. – MalaysiaGazette
















