KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan insiden letupan mercun sempena sambutan Deepavali di Kulim, Kedah malam tadi yang mengakibatkan 22 mangsa cedera.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, kedua-dua suspek ditahan di Taman Senangin dan Paya Besar, Kulim, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek adalah kenalan lama dan ketika kejadian, mereka sedang lepak bersama beberapa rakan lain di kawasan terbabit.
Suspek pertama lelaki berusia 34 tahun beralamat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai khidmat pelanggan manakala suspek kedua adalah lelaki berusia 23 tahun beralamat di Jalan Paya Besar, Lunas dan bekerja sebagai pembantu kedai.
Kedua-dua suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Ketika kejadian, suspek pertama dalam keadaan mabuk mendapatkan mercun jenis ‘kelapa’ di sebuah khemah yang menjual bahan letupan itu pada harga RM200.
“Suspek kemudian membawa dan memasukkan mercun itu ke dalam sebuah silinder yang tersedia di tepi jalan dan pada waktu itu rakan-rakan lain dan orang ramai yang lalu turut menyaksikan pertunjukan mercun di situ.
“Selepas itu, suspek kedua kemudian membakar mercun berkenaan tetapi tidak naik dan meletup di bawah, disyaki kerana suspek pertama memasangnya secara terbalik akibat mabuk.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/10/20/22-cedera-dalam-letupan-mercun-di-kulim/
Menurut Zulkifli, 22 mangsa yang berada dan lalu di lokasi berkenaan cedera termasuk seorang seorang yang cedera parah di bahagian kepala iaitu retak tengkorak bahagian dahi dan kini dirujuk ke Hospital Pulau Pinang.
Katanya, setakat ini 10 mangsa sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette















