KUALA LUMPUR – Anggota polis yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di kuarters Balai Polis USJ 8 sejak beberapa hari lalu ditemui selamat.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, Mohd Fadhil Mohamed @ Ahadiah, 40, dilaporkan kembali ke kuarters kira-kira jam 1.45 pagi.
“Anggota dari Balai Polis USJ 8 telah mengesan pergerakan kenderaan milik lelaki (anggota) itu memasuki kawasan kuarters balai.
“Susulan itu, pegawai penyiasat kes memaklumkan perkara tersebut dan membawa anggota terbabit ke balai polis berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, kepulangan anggota polis itu kemudian dimaklumkan kepada isterinya dan datang ke balai untuk membuat laporan pengesahan.
“Anggota terbabit dalam keadaan selamat dan sihat. Sepanjang tempoh kehilangannya, dia berada di beberapa masjid sekitar Morib, Banting dan Putra Heights,” ujarnya.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, seorang anggota polis dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah serta gagal dihubungi oleh ahli keluarganya sejak Rabu lalu.
Dia dipercayai keluar dari rumahnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan USJ 8 pada 15 Oktober dengan memandu sebuah kereta jenis Proton Saga hitam bernombor pendaftaran WC 8024 K.
Laporan kehilangan itu dibuat oleh ahli keluarganya pada 16 Oktober lalu sekitar jam 9.15 malam selepas mangsa gagal dihubungi untuk tempoh dua hari berturut-turut. – MalaysiaGazette
















