MOSCOW – Sebuah pesawat Airbus A320 dilaporkan tergelincir dari landasan utama Lapangan Terbang Saint Petersburg awal pagi Isnin ketika melakukan pendaratan cemas akibat kerosakan pada gear pendaratan.
Kesemua 162 penumpang dan kru penerbangan yang dalam perjalanan ke Baku, ibu negara Azerbaijan, tidak mengalami sebarang kecederaan, lapor agensi berita RIA.
Lapangan Terbang Pulkovo, salah satu lapangan terbang paling sibuk di Rusia, menangguhkan operasi buat sementara waktu selepas insiden itu sebelum menyambung semula penerbangan pada pagi Isnin.
RIA tidak menyatakan syarikat penerbangan yang mengendalikan pesawat tersebut.
Keselamatan penerbangan di Rusia terus menjadi perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di tengah-tengah persaingan sengit antara Airbus dari Perancis dan Boeing dari Amerika Syarikat.
Model Airbus A320 baru-baru ini menjadi pesawat komersial paling laris di dunia, menurut data yang dikeluarkan minggu lalu.
Rusia dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah beralih daripada pesawat era Soviet kepada jet moden seperti A320 dan Boeing 737, berikutan beberapa nahas melibatkan pesawat lama. – Agensi















