MELAKA – Polis Melaka akan mula melaksanakan pemeriksaan mengejut (spot check) sekolah bermula Khamis ini, selaras dengan hasrat kerajaan menunjukkan institusi pendidikan adalah tempat yang selamat.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pemeriksaan itu melibatkan semua sekolah kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIM) termasuk sekolah harian, agama dan asrama penuh.
“Arahan ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang melihat kehadiran anggota polis di sekolah sebagai isyarat bahawa institusi pendidikan adalah kawasan selamat.
“Kita akan melaksanakan pemeriksaan secara mengejut tanpa jadual tetap bagi memastikan keberkesanan dan ketelusan tindakan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Deepavali Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam di Batu Berendam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, pemeriksaan itu bukan hanya tertumpu kepada sekolah berisiko tinggi atau yang pernah mempunyai rekod masalah disiplin.
“Pemeriksaan juga merangkumi semua kategori sekolah termasuk sekolah berprestasi tinggi atau digelar ‘sekolah pandai’.
“Pendekatan menyeluruh ini penting supaya mesej keselamatan dan pencegahan jenayah sampai kepada semua lapisan pelajar tanpa mengira latar belakang sekolah,” ujarnya.
Tambahnya, kehadiran anggota polis bukan bertujuan menakut-nakutkan, sebaliknya memberi keyakinan kepada pelajar, ibu bapa dan guru bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
Jumaat lalu, jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri bersetuju aspek keberadaan anggota polis di sekolah perlu diperkukuhkan.
Ia selepas beberapa insiden melibatkan pelajar berlaku termasuk kes rogol bergilir-gilir di Alor Gajah dan kes pelajar ditikam di sebuah sekolah Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.
Tambah Dzulkhairi, polis turut akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan pihak pentadbiran sekolah bagi memastikan pelaksanaan pemeriksaan ini berjalan lancar serta tidak mengganggu proses pembelajaran. – MalaysiaGazette















