KUALA LUMPUR – Tiada lagi gabungan sebesar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dapat menyatupadukan parti-parti lokal dengan matlamat memperjuangkan hak orang Sabah sebagai rakan kongsi dalam Malaysia.
Sehubungan itu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, meskipun dua parti komponen GRS sebelum ini memilih untuk keluar daripada gabungan tersebut, namun kekuatan dan perpaduan GRS tetap teguh.
“Rumah kita (GRS) tidak tumbang kerana perjuangan ini berasaskan keikhlasan dan persahabatan tulen demi masa depan negeri Sabah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Terdahulu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, semalam.
Sementara itu, Hajiji turut mengingatkan pengundi supaya tidak membiarkan negeri itu kembali ke tangan mereka yang gagal mentadbir, tiada hala tuju jelas dan hanya berpolitik atas dasar dendam serta kepentingan peribadi.
Ujar beliau, walaupun telah diuji dengan pelbagai cabaran dan tomahan, namun GRS telah membuktikan bahawa semangat gabungan parti tersebut tidak akan goyah.
“Gunung yang tinggi tetap kita daki, lautan yang dalam tetap kita renangi. Jika kita bersatu, tiada kekuatan yang mampu menggugat perjuangan ini,” katanya.
Sebelum ini, dua parti komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) memutuskan untuk keluar daripada gabungan itu dan akan bertanding secara solo pada PRN-17 Sabah.
Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam sidang akhbar mengumumkan hari pengundian bagi PRN-17 Sabah ditetapkan pada 29 November depan dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 15 November dan 25 November ini.
Seramai 1,784,843 pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab dalam PRN-17, dengan masing-masing melibatkan seramai 1,760,417 pengundi biasa; 11,697 tentera dan pasangan, manakala 12,729 polis serta pasangan.
Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman. – MalaysiaGazette
















