PONTIAN – Banjir kilat di daerah ini pulih selepas sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok yang dibuka sejak pukul 8 malam kelmarin ditutup sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, PPS tersebut ditutup pukul 2 petang tadi.

“Selepas 54 mangsa banjir kilat terdiri daripada 15 keluarga terakhir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Mereka merupakan mangsa banjir dari Kampung Makam, Penerok dan Kampung Parit Bugis yang terjejas dengan banjir kilat.

“Sepanjang dibuka, PPS itu menempatkan paling ramai mangsa pada 2 petang semalam hingga 10 malam tadi, iaitu seramai 84 mangsa daripada 24 keluarga,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Asman Shah yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, cuaca di semua daerah di negeri ini juga dilaporkan cerah setakat pukul 2 petang ini.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tiada sebarang amaran hujan berterusan mahu pun ribut petir dikeluarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast