Salah seorang mangsa yang cedera dibawa masuk ke dalam ambulans.

KULIM – Seorang lelakk dan perempuan yang ditahan bagi membantu siasatan insiden letupan mercun sempena sambutan Deepavali yang mengakibatkan 22 mangsa cedera di sini direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 23 dan 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Kulim, Nur Hamizah Mat Shah bermula hari ini sehingga 27 Oktober depan.

“Kita peroleh perintah reman itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Media semalam melaporkan polis menahan dua individu di Taman Senangin dan Paya Besar di sini, bagi membantu siasatan insiden letupan mercun.

Zulkifli berkata, tangkapan dibuat berdasarkan rakaman video berdurasi 22 saat berhubung kejadian itu yang tular di media sosial.

Katanya, suspek lelaki berusia 34 tahun beralamat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, bekerja sebagai khidmat pelanggan manakala suspek kedua pula, berumur 23 tahun beralamat di Jalan Paya Besar, Lunas, seorang pembantu kedai.

“Masing-masing mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau dan hasil siasatan awal mendapati ketika mereka sedang lepak beberapa rakan lain di kawasan kejadian, suspek pertama yang dalam keadaan mabuk membeli mercun jenis ‘kelapa’ di sebuah khemah menjual bahan letupan itu pada harga RM200.

“Suspek kemudian memasukkan mercun itu ke dalam sebuah silinder yang tersedia di tepi jalan dan pada waktu itu rakan-rakan lain dan orang ramai yang lalu turut menyaksikan pertunjukan mercun di situ.

“Selepas itu, suspek kedua telah membakar mercun berkenaan tetapi ia tidak naik dan meletup di bawah disyaki kerana suspek pertama telah memasangnya secara terbalik berikutan berada dalam keadaan mabuk,” katanya.

Tambah beliau, akibat letupan itu, seramai 22 mangsa yang berada di situ cedera termasuk seorang mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, iaitu retak tengkorak bahagian dahi dan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast