JOHOR BAHRU – Seorang daripada dua mangsa yang cedera semasa cuba menghalang seorang lelaki Myanmar daripada menikam dan mengkelar kekasihnya kini dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa tersebut, lelaki tempatan berusia 27 tahun kini masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
“Mangsa tersebut masih ditahan di wad HSI dan telah menjalani pembedahan. Keadaan agak lemah tetapi stabil.
“Sementara mangsa wanita pula yang berusia 23 tahun tiada kecederaan serius dan hanya luka di bahagian jari dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian pukul 7.40 malam tadi, sepasang kekasih maut warga Myanmar maut dalam kejadian di Jalan Austin Heights 8/3, Taman Austin Height di sini.
Raub dilaporkan berkata, kejadian tersebut berlaku di laluan hostel pekerja melibatkan pasangan kekasih iaitu mangsa wanita berusia 33 tahun ditemui mati dengan kesan tikaman dan kelar pada badan.
“Suspek seorang lelaki warganegara asing dipercayai teman lelaki mangsa turut ditemui mati di lokasi sama dan dipercayai membunuh diri selepas kejadian,” katanya.
Katanya, saksi kejadian iaitu lelaki dan wanita tersebut turut cedera ketika cuba menghalang suspek daripada menyerang mangsa sebelum kedua-duanya dirawat di HSI. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tikam, kelar kekasih sehingga maut sebelum cabut nyawa sendiri















