Petugas ladang membuat kerja-kerja mengambil buah sawit di Ladang FGV Moakil 07, Segamat, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 25 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit dijangka kekal stabil melebihi RM4,400 setiap tan, namun sentimen pasaran kekal berhati-hati di tengah-tengah harga minyak mentah yang lemah, inventori minyak sayuran yang tinggi di pasaran utama seperti China dan India, ketegangan perdagangan AS–China yang semakin memuncak serta peningkatan stok kacang soya global.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 102,000 tan (+7.7% bulan ke bulan) kepada 1.42 juta tan pada bulan September, dengan kebanyakan rantau mencatatkan peningkatan kecuali 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU27) dan Asia Pasifik.

Peningkatan terbesar datang dari Asia Selatan, yang mana eksport ke India mencecah 312,000 tan tertinggi dalam tempoh 11 bulan.

Penghantaran ke Sub-Sahara Afrika, Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), benua Amerika serta Asia Tengah juga mencatatkan peningkatan sepanjang bulan tersebut.

Stok minyak sawit pada bulan September meningkat kepada 2.36 juta tan juga tertinggi dalam tempoh 22 bulan walaupun pertumbuhan eksport mengatasi pengeluaran.

Peningkatan ini sebahagian besarnya dipacu oleh penggunaan domestik yang kembali normal dalam julat biasa 300,000 hingga 350,000 tan sebulan, selepas mencatat paras tertinggi sebanyak 499,000 tan pada bulan Ogos.

Import juga meningkat sebanyak 20,000 tan (+33.9% bulan ke bulan), sekali gus menyumbang kepada penambahan stok.

MPOC menambah, minyak sawit sekali lagi diniagakan pada harga premium berbanding minyak kacang soya di pasaran global.

Sehingga pertengahan Oktober, minyak sawit berharga AS$42 setiap tan lebih tinggi daripada minyak kacang soya di Eropah dan AS$26 lebih tinggi di India.

Diskaun harga minyak sawit berbanding minyak kacang soya hanya berlangsung seketika antara April dan September.

Spekulasi mengenai kemungkinan pelaksanaan mandat biodiesel B50 oleh Indonesia kekal sebagai faktor utama yang menyokong harga minyak sawit.

Menurutnya, Program B50 dianggarkan memerlukan sekitar 17 juta tan minyak sawit untuk pencampuran, peningkatan sebanyak 3 juta tan daripada mandat B40 sedia ada, bersamaan kira-kira 35% daripada pengeluaran minyak sawit Indonesia.

Negara itu juga menggunakan kira-kira 10 juta tan untuk kegunaan makanan, yang bermakna hanya sekitar 22 juta tan atau kurang tersedia untuk eksport sekiranya B50 dilaksanakan.

Ini akan menyebabkan penurunan ketara dalam bekalan yang boleh dieksport, memandangkan Indonesia secara historikal telah mengeksport antara 24 hingga 28 juta tan minyak sawit setiap tahun dalam tempoh lima tahun lepas.

Permintaan global terhadap minyak sayuran pada musim akan datang dijangka bergantung secara besar kepada minyak bunga matahari, kerana bekalan eksport minyak kacang soya dari AS dan Brazil dijangka merosot  daripada 2.7 juta tan pada 2024/25 kepada 1.6 juta tan pada 2025/26, penurunan sebanyak 41% disebabkan oleh peningkatan permintaan domestik untuk biofuel.

Di Argentina, pengecualian sementara cukai eksport ke atas produk kacang soya yang diumumkan pada akhir September telah mendorong jualan kacang soya hadapan yang besar, terutamanya ke China.

Manakala eksport yang dipercepatkan ini dijangka akan mengurangkan aktiviti penghancuran dan mengehadkan ketersediaan eksport minyak kacang soya dalam beberapa bulan akan datang.

Walaupun rantau Laut Hitam telah memulakan penuaian biji bunga matahari pada bulan September, harga minyak bunga matahari kekal kukuh, terus memimpin dalam pasaran minyak sayuran.

Pada pertengahan Oktober, minyak bunga matahari di pasaran Eropah diniagakan pada harga AS$1,360 setan atau kira-kira AS$75 lebih tinggi daripada minyak sawit dan AS$100 lebih tinggi daripada minyak kacang soya, mencerminkan keadaan bekalan yang ketat dan tidak menentu.

Sementara itu, konflik perdagangan AS–China yang berterusan telah menyebabkan peningkatan stok kacang soya AS, apabila negara itu memulakan musim menuai pada bulan September dan Oktober.

China telah menggantung import kacang soya dari AS sejak Mei 2025 dan kini hampir sepenuhnya bergantung kepada sumber dari Amerika Selatan.

Walaupun peningkatan aktiviti penghancuran domestik dan penggunaan minyak kacang soya di AS dijangka berlaku di bawah dasar biofuel 45Z pada 2026 yang mengutamakan bahan mentah domestikdan faktor-faktor ini tidak mencukupi untuk mengimbangi penurunan ketara dalam eksport ke China.

Harga minyak sayuran dijangka kekal kukuh sepanjang baki tahun 2025, disokong oleh kekuatan dalam minyak sawit dan minyak kacang soya.

Pengurangan bekalan eksport minyak kacang soya dari Argentina dijangka mendorong kenaikan harga dalam beberapa bulan akan datang, manakala spekulasi berterusan mengenai mandat B50 Indonesia akan terus menyokong harga minyak sawit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast