Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas hadir bagi perbicaraan kes saman RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnahnya ketika di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 OKTOBER 2025.

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya memberi impak besar kepada reputasinya.

Jelas beliau, ia kerana ia dilontarkan oleh Anwar dalam kapasiti sebagai seorang Perdana Menteri.

Dr Mahathir ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan berkata, walaupun Anwar pernah membuat tuduhan yang sama sebelum memegang jawatan tersebut namun kesannya tidak sama.

Sehubungan itu beliau membuat keputusan memfailkan saman fitnah terhadap Anwar.

“Anwar selalu buat tuduhan palsu kepada saya. Apabila dia buat tuduhan ini sebelum jadi Perdana Menteri,  tidak terkesan tapi bila jadi Perdana Menteri, dia buat tuduhan yang sama ia amat terkesan.

“Ini dapat dilihat dalam sosial media kenyataan-kenyataan yang reflek apa yang Anwar kata terhadap diri saya. Kesan tuduhan yang dibuat dibuat semasa jadi Perdana Menteri memang lebih kuat berbanding sebelum jadi Perdana Menteri,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Donald Joseph Franklin di sini hari ini.

Terdahulu, Dr M  menerusi pernyataan saksinya setebal 54 muka surat menyifatkan Anwar sebagai ‘pathological liar’.

“Anwar ialah seorang ‘pathological liar’, mempunyai kemampuan menipu yang menakjubkan dan akan menipu demi jawatan serta kuasa.

“Beliau mengata kononnya saya zalim, diktator, guna kroni, kayakan anak-anak dan menggunakan polis untuk menangkap orang. Anwar juga kata, saya telah membuat kerosakan sedangkan kenyataan tersebut telah mencemari reputasi saya selaku tokoh politik,” katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini turut memainkan semula rakaman video ucapan Anwar.

Kemudian Dr Mahathir menegaskan, ucapan tersebut merupakan fitnah kerana mendakwa Anwar gagal mengemukakan bukti untuk mempertahankan kenyataannya.

“Setelah membaca bukti yang dibawa, tidak ada satu pun menunjukkan saya dapat wang daripasa pengurusan kerajaan Malaysia.

“Sebagai Perdana Menteri, saya jalankan tugas, buat keputusan dan lain-lain tapi tidak ada apa-apa dalam dokumen yang disiar menunjukkan saya seleweng wang kerajaan.

“Saya tidak ada punca pendapatan lain selain gaji saya,” katanya.

Hari ini merupakan perbicaraan hari pertama bagi kes saman fitnah RM150 juta bekas Perdana Menteri dua kali itu terhadap Anwar.

Perbicaraan kemudian ditangguh dan bersambung semula pada 23 Oktober depan untuk prosiding pemeriksaan balas pihak defendan.

Ia susulan permohonan yang dibuat peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali kerana Dr Mahathir perlu berehat.

Sebagai rekod, Dr Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar pada 3 Mei 2023.

Dr Mahathir selaku plaintif mendakwa Anwar mencemarkan reputasinya dengan menuduh beliau bersikap rasis serta mengkayakan diri dan ahli keluarganya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast