PONTIAN – Mangsa banjir di daerah ini berkurangan kepada 54 penduduk yang melibatkan 14 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Penerok setakat pukul 10 pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Asman Shah And Rahman berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 84 mangsa daripada 24 keluarga bagi tempoh yang sama semalam.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, mangsa banjir berkenaan adalah dari Kampung Makam, Penerok dan Kampung Parit Bugis ditempatkan di PPS itu yang dibuka pukul 8 malam semalam.
“Pemantauan masih dilakukan sehingga kini dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Setakat ini masih sebuah PPS yang dibuka.
“Cuaca pada pukul 10 pagi ini diramalkan cerah melibatkan daerah Johor Bahru, Muar, Mersing, Pontian, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai,” katanya dalam kenyataan.- MalaysiaGazette
















