JOHOR BAHRU – Menjadi orang kurang upaya (OKU) bukan penghalang kepada S Nagarajan, 47, untuk meneruskan kehidupan dengan segala kudrat yang ada.
Di sebalik kekangan fizikal dan kisah hidup penuh ujian, dia menjadikan juadah tradisional India, pani puri, sebagai simbol kekuatan, inovasi dan harapan baharu pada sambutan Deepavali.
Nagarajan yang pernah diserang strok dan mengalami kecederaan kekal pada tangan kanan akibat kemalangan motosikal, kini bangkit sebagai peniaga sepenuh masa dengan memodenkan snek klasik itu.
Dia memperkenalkan pelbagai perisa moden seperti coklat, keju, pistachio, yogurt dan aiskrim.
Meskipun diserang strok yang menjejaskan bahagian kiri badan dua tahun lalu serta mengalami kelumpuhan tangan kanan sejak usia 30 tahun, dia terus gigih memajukan perniagaannya, NSS Gana Pani Puri & Kunafa.
“Saya ni seorang OKU, sudah tiga tahun kena strok tapi saya memang berusaha untuk berniaga sendiri. Kali ni kita dapat tempat di Bandaraya Johor Bahru,” katanya ketika ditemui di Bazaar Deepavali Little India.
Disokong isteri tercinta, K Tamil Selvl, 48, yang menyediakan air perisa dan inti kentang Istimewa, gerai mereka menjadi tumpuan ramai bukan sahaja kerana keunikan rasa juadah, tetapi juga kisah di sebalik kejayaan kecil itu.
“Anak saya pun tolong berniaga, dan saya bangga dia ikut jejak saya,” kata bapa kepada empat anak itu.
Pani puri yang dijual dalam set lapan biji pada harga antara RM12 hingga RM23 hadir dalam pelbagai variasi moden seperti cheesy wedges, blueberry, chicken floss dan chocolate cheese, namun tetap mengekalkan cita rasa tradisionalnya.
Tidak terhad kepada snek India, Nagarajan turut menjual kunafa, sambal belacan, sambal petal, muruku dan barangan sembahyang selain membantu memasarkan produk peniaga lain di gerainya.
Ini menjadikanya bukan sekadar usahawan, malah penyokong komuniti setempat.- MalaysiaGazette
















