Wong Chee Yew

KUALA NERUS – Seorang pelajar Program Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Wong Chee Yew memenangi undian tertinggi juri dan diumumkan antara lima pemenang akhir terbaik dalam Pertandingan Bijak Pitch-i! 2025 sempena Bursa Marketplace Fair 2025 di Mayang Mall.

Program Bursa Marketplace Fair 2025 merupakan kesinambungan kepada Investment Day: Bursa x UMT diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif UMT memperkukuh literasi kewangan menguji kemahiran penyelidikan ekuiti, analisis kewangan dan kemampuan peserta menyampaikan cadangan pelaburan secara profesional di Pantai Timur.

Chee Yew berkata, kejayaan itu mengukuhkan minatnya dalam bidang kewangan dan penyelidikan serta memberi pengalaman berharga.

“Kemenangan dalam Bijak Pitch-i mengajar saya bahawa pelaburan bukan sekadar angka tetapi tentang memahami perniagaan, mengurus risiko dan berfikir dengan keyakinan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menambah, pengalaman itu membakar minatnya terhadap dunia kewangan dan penyelidikan.

Penubuhan UMT Trading Centre sebagai pusat latihan dan simulasi pelaburan pertama di IPTA Pantai Timur memberi pelajar dan komuniti akses kepada data pasaran sebenar serta latihan praktikal, mencerminkan komitmen UMT menyediakan pembelajaran inklusif dan berteraskan realiti industri khususnya dalam bidang pelaburan, kewangan dan pasaran modal.

Kejayaan Chee Yew menunjukkan keberkesanan usaha UMT dalam memperkukuhkan pendidikan dan literasi kewangan melalui pendekatan praktikal serta pendedahan kepada dunia sebenar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast