Majlis menandatangani MoU oleh Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kiri) dan Nik Hisham Nik Ibrahim, (dua dari kanan) disaksikan oleh Norliza Abdul (tengah) di Menara PTPTN hari ini.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan My Digital ID Sdn. Bhd. hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membolehkan PTPTN mengintegrasi identiti digital MyDigital ID ke dalam aplikasi myPTPTN.

Usaha ini bertujuan meningkatkan kecekapan dan pengalaman pengguna dalam mengakses perkhidmatan secara dalam talian sejajar dengan aspirasi Kerajaan Malaysia melalui inisiatif Dasar Identiti Digital Nasional (NDID) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menjadi asas kepada transformasi perkhidmatan awam dan pembangunan ekonomi digital negara.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif, My Digital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim menandatangani MoU ini dengan disaksikan oleh Datuk Seri Norliza Abdul Rahim selaku Pengerusi PTPTN.

MoU ini manifestasi komitmen PTPTN untuk menjadi organisasi digital yang progresif dan mesra pelanggan selaras dengan agenda pendigitalan negara.

Norliza dalam ucapannya berkata, selari dengan Teras Ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan, PTPTN telah memperkenalkan aplikasi myPTPTN.

Sehingga 15 Oktober 2025, lebih 2.8 juta pengguna telah menggunakan myPTPTN secara dalam talian.

“Melalui platform ini, pengguna boleh membuat permohonan pinjaman, menyemak baki pinjaman, membuat pembayaran balik, serta
membuka dan menambah deposit dalam akaun Simpan SSPN dengan mudah.

“Dengan kemajuan ini, kami yakin PTPTN akan terus menjadi organisasi yang lebih efisien dan mesra pelanggan. Transformasi ini memberi manfaat besar kepada masyarakat membolehkan mereka berurusan secara mudah, cepat dan selamat dari umah, kampus atau di mana sahaja.” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Nik Hisham yakin, usaha seperti ini bukan sahaja menyokong agenda pendigitalan negara, malah turut meletakkan asas kukuh untuk pertumbuhan inovasi dalam sekor pendidikan.

Lebih penting, ia membantu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap transaksi digital sekaligus menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital Malaysia, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast