Tan Sri Abdul Rashid Hussain

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik semula sebagai Pengerusi dan Anggota Lembaga Tabung Haji (TH) untuk tempoh dua tahun lagi berkuat kuasa, 20 Disember 2025.

TH dalam kenyataannya hari ini berkata, sepanjang kepimpinan tokoh korporat itu sejak 20 Disember 2023, beliau berjaya memperkukuh kedudukan kewangan TH, meningkatkan pulangan pendeposit dan mencatatkan keuntungan RM2.92 bilion bagi tahun 2024.

Rashid turut berjaya menaikkan aset TH kepada RM95.06 bilion, serta menerima pengiktirafan antarabangsa Labaytum Diamond Award daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Sementara itu, Rashid turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar atas kepercayaan dan amanah untuk meneruskan transformasi TH demi manfaat pendeposit, jemaah haji dan umat Islam di Malaysia.

“Syukur atas peluang untuk saya terus berkhidmat bersama warga TH dalam memperkukuh kedudukan kewangan TH agar lebih mampan melalui penambahbaikan dan inovasi,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan matlamat beliau untuk menjadikan TH sebagai institusi simpanan Islam yang dihormati, sejajar dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar TH sentiasa menambah baik tadbir urus demi manfaat pendeposit. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast