KUALA LUMPUR – Syarikat pembinaan tempatan, Sino Sky Sdn Bhd terus melangkah kukuh dalam sektor infrastruktur dengan pelaburan permulaan sebanyak RM25 juta dan sasaran projek bernilai RM100 juta dalam tempoh terdekat.
Pengerusi eksekutifnya, Datuk Harridzs Mohan berkata, pelancaran rasmi syarikat itu yang disempurnakan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menandakan permulaan baharu kerjasama strategik antara Malaysia dan China di bawah entiti Sino Sky yang dibangunkan sebagai syarikat usaha sama dwinegara.
“Buat masa ini, kami mempunyai projek aktif bernilai kira-kira RM25 juta dan dalam perancangan pipeline tambahan sebanyak RM50 juta.
“Sasaran kami ialah mencapai jumlah keseluruhan RM100 juta dalam pelbagai sektor sama ada daripada sektor swasta mahupun kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Harridzs, Sino Sky kini memberi tumpuan kepada sektor pembinaan infrastruktur (M-infrastructure) termasuk kerja-kerja jalan raya serta projek kejuruteraan awam.
Beliau menjelaskan, syarikat itu sedang berbincang dengan beberapa rakan kongsi antarabangsa bagi membawa masuk jentera berat dan teknologi baharu untuk mempercepat serta memperkukuh operasi.
“Kami merancang membawa masuk tiga unit mesin rendering serta beberapa unit mesin milling. Buat masa ini, kami sudah ada empat set mesin dan akan tambah lagi,” katanya.
Tambah beliau, kemudahan kilang fabrikasi di Rawang turut membantu mempercepatkan proses pembinaan dengan menyediakan komponen siap pasang (prefabricated).
Dalam pada itu, Harridzs turut mengulas mengenai Belanjawan 2026 yang memperkenalkan capital allowance sebanyak 20 peratus dan elaun tahunan 40 peratus yang dijangka dapat mengurangkan kos pengimportan mesin berat dari luar negara.
“Kalau elaun ini turut terpakai bagi mesin yang diimport, ia akan sangat membantu sektor pembinaan. Setakat ini, kita belum ada mesin berat buatan tempatan tak seperti kereta Proton dulu. Maka kita bergantung kepada peralatan luar untuk kekal berdaya saing,” ujarnya.

Selain infrastruktur, Sino Sky turut terlibat dalam projek pembangunan kediaman dan komersial termasuk pembinaan banglo mewah dan kilang.
“Sekarang kami sedang melaksanakan projek bersama beberapa pemaju seperti Melton dan Syntax termasuk pembangunan banglo di Bukit Tunku dan Damansara Heights. Kami juga sedang berunding dengan pemilik tanah di Bertam, Pulau Pinang untuk membangunkan deretan lot kedai,” katanya.
Jelasnya, nilai pelaburan masa depan dijangka meningkat kepada RM200 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun bergantung kepada potensi pasaran dan peluang tender yang diperoleh.
Sino Sky tidak hanya menumpukan kepada projek berskala besar kategori G7, tetapi juga bersedia menyertai projek bersaiz sederhana kategori G6 dan G5 bagi mengukuhkan jaringan rakan niaga tempatan.
“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan kontraktor tempatan sama ada G7 atau G6. Apa yang penting ialah semangat berganding bahu untuk memperkukuh sektor pembinaan negara.
“Kami bukan sekadar syarikat renovasi, tetapi penyedia penyelesaian hujung-ke-hujung dalam kejuruteraan dan pembinaan awam,” jelasnya.
Dengan pelaburan berterusan, strategi dwinegara Malaysia-China serta kemudahan teknologi fabrikasi tempatan, Sino Sky dilihat bersedia menjadi antara pemain utama yang memacu pertumbuhan sektor pembinaan dan infrastruktur negara menjelang 2026. – MalaysiaGazette
















