KUALA LUMPUR – MIC bakal keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan mengambil langkah tersebut pada November depan.
Perkara tersebut didedahkan oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menerusi video yang dimuat naiknya di TikTok.
Jelasnya, perkara berkenaan diakui sendiri oleh Datuk Seri M Saravanan ketika sambutan Deepavali di rumah Timbalan Presiden MIC itu semalam.
Menurut beliau, Saravanan turut memaklumkan ketidakpuasan hati terhadap beberapa perkara menjadi punca MIC membuat keputusan tersebut.
“Tapi saya tidak payah sebut di sinilah sensitif dan sulit,” katanya.
Meskipun Saravanan kelihatan nekad dengan keputusan tersebut namun Tajuddin berharap agar parti komponen BN itu meneliti semula keputusan berkenaan.
Menurutnya, MIC, MCA dan parti komponen BN yang lain sudah banyak mengharungi cabaran politik bersama-sama.
“Walau macam mana pun, saya nasihatkan beliau (Saravanan) supaya mempertimbangkan keputusannya. Kerana kita (UMNO) sudah lama bersama dengan MIC, dalam ikatan itu, dalam BN kita sudah harungi suka duka bersama.
“Dalam politik Malaysia ini banyak sumbangan MIC terhadap kemajuan dan pembangunan negara kita dan semua rakyat Malaysia berbagai bangsa. Jadi saya nasihatkan beliau kalau beliau pertimbangkan semula.
“Beliau nampaknya bertegas mungkin beliau akan dapat petunjuk dan hidayah, saya harap begitu supaya MIC akan tetap bersama BN,” katanya lagi.
Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu bersikap terbuka sama ada MIC mahu kekal atau sebaliknya di dalam gabungan itu.
Bagaimanapun, katanya, MIC akan menbuat keputusan yang bijak.
Dilaporkan, MIC akan memuktamadkan kedudukannya dalam BN pada Mesyuarat Agung Tahunan yang akan berlangsung 16 November depan. – MalaysiaGazette
















