Pasangan kekasih maut selepas kereta dinaiki melanggar pokok kelapa sawit dan terbakar di Jalan Tanjung Balau-Sedili, Kota Tinggi awal pagi tadi.

KOTA TINGGI – Dua mangsa yang rentung selepas kereta dinaiki melanggar pokok kelapa sawit dan terbakar di Kilometer (KM) 32, Jalan Tanjung Balau-Sedili, di sini, awal pagi tadi, adalah pasangan kekasih.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa lelaki, Muhammad Daniel Saberi berusia 21 tahun sebelum ini merupakan seorang tentera namun kini dalam rawatan pakar psikiatri.

“Dalam kemalangan terbabit dia mengalami kecederaan parah dan terbakar seluruh anggota badan. Sementara mangsa wanita iaitu penumpang hadapan, Aiza Nur Elysha Sabri berusia 17 tahun.

“Dia merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu, mengalami kecederaan parah dan terbakar seluruh anggota badan. Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu portal ini melaporkan pasangan tersebut rentung akibat terperangkap selepas kereta Toyota Vios yang dinaiki terbakar dalam kemalangan tersebut.

Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.30 pagi daripada orang awam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan melanggar pokok kelapa sawit berhampiran kawasan kebun sebelum terbakar.

“Kedua-dua mangsa rentung di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi proses bedah siasat bagi membantu proses siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.