Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Hanya dua simkad sahaja untuk warga asing dibenarkan didaftar dengan syarikat telekomunikasi (Telco), manakala dua simkad bagi rakyat Malaysia berbanding lima simkad sebelum ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan serta mengurangkan masalah pihak tidak bertanggungjawab mendaftar akaun media sosial untuk tujuan penipuan atau ugutan.

Katanya, langkah itu boleh memperketatkan lagi pendaftaran simkad prabayar sejak tahun 2017 yang mana seorang pengguna boleh mendaftar sehingga lima simkad prabayar menyebabkan individu berkenaan boleh memiliki banyak nombor.

“Jadi, sekarang MCMC sedang buat public enquiry (siasatan awam) di mana kita nak cadangkan bahawa untuk setiap warga Malaysia maksimum dua prepaid simkad setiap telco.

“Kalau mereka merupakan warga asing jadi mereka hanya dibenarkan untuk mendaftar dua prepaid simkad tak kiralah dengan mana-mana syarikat telco,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan (PH-Sungai Petani) Dr Taufiq Johari yang ingin tahu langkah yang diambil oleh Kementerian Komunikasi dalam menangani isu penyalahgunaan media sosial susulan peluasan penggunaan teknologo kecerdasan buatan (AI) oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ketika ini.

Terdahulu, Nie Ching menjawab soalan (PN-Bintulu), Suhaili Abdul Rahman yang meminta Kementerian menyatakan langkah-langkah yang telah dan akan diambil bagi membendung penyalahgunaan teknologi AI seperti deepfake, chatGPT dan lain-lain dalam penyebaran berita-berita palsu, memanipulasi imej dan suara sehingga menimbulkan keresahan awam dan ketegangan antara kaum.

Katanya, penyebaran pelbagai bentuk kandungan berisiko di alam maya termasuk maklumat palsu, penipuan, penyalahgunaan platform digital, unsur provokasi serta ancaman keselamatan semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak.

Jelas beliau, kemunculan teknologi AI yang pesat memburukkan lagi keadaan apabila ia mempercepatkan penciptaan dan penyebaran kandungan bersifat manipulatif, sekali gus berpotensi besar mengelirukan pengguna dan menggugat keharmonian awam.

“Susulan situasi ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mengambil langkah proaktif dengan memantau isu-isu yang dibangkitkan di media sosial termasuk yang melibatkan kepentingan awam, jenayah, salah guna platform, ancaman serta provokasi.

“Kerjasama erat dengan platform media sosial dan agensi penguatkuasa juga terus dijalankan dalam usaha mengekang penyebaran maklumat palsu, termasuk kandungan yang dijana oleh teknologi AI seperti deepfake,” tambahnya.

Dalam pada itu Nie Ching berkata, sejak 1 Januari 2022 hingga 15 Oktober lepas, sebanyak 3,074 permohonan telah dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan kandungan deepfake, di mana 2,354 kandungan iaitu 77 peratus berjaya diturunkan.

Bagi kandungan palsu pula, sebanyak 55,218 permohonan dibuat dan 46,966 kandungan 85 peratus telah berjaya diturunkan daripada platform-platform terlibat.

Tindakan penurunan ini dilakukan berdasarkan aduan yang diterima serta berpandukan kepada garis panduan komuniti setiap platform, sejajar dengan peruntukan undang-undang tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast