Antara barang yang dirampas dalam serbuan sindiket pemalsuan dokumen di ibu negara. Foto JIM KL

KUALA LUMPUR –  Sindiket pemalsuan dokumen yang menawarkan khidmat Cap Keselamatan Imigresen palsu dengan menyasarkan pelanggan Indonesia di ibu negara berjaya ditumpaskan semalam.

Pengarah Imigresen KL, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, kejayaan itu hasil risikan selama tiga bulan.

Sindiket yang didalangi oleh warga asing itu telah beroperasi kira-kira lapan hingga 12 bulan lalu dengan menawarkan khidmat Cap Keselamatan Imigresen palsu dan Pasport Antarabangsa Indonesia yang diubah suai.

“Selain itu, slip e-pass Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) milik JIM turut dipalsukan dengan kadar bayaran yang dikenakan iaitu RM120 bagi cap Pas Lawatan Sosial.

“Mereka turut mengenakan bayaran RM350 bagi pasport Indonesia yang telah diubah, dan RM100 untuk slip e-pass PLKS JIM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serbuan sekitar jam 9 malam itu dijalankan melibatkan seramai 23 pegawai dari Unit Risikan dan Operasi, Sektor Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur (JIM KL).

Antara barang yang dirampas dalam serbuan sindiket pemalsuan dokumen di ibu negara. Foto JIM KL

Dalam serbuan itu, imigresen turut menggempur sebuah kenderaan peribadi ahli sindiket dipercayai menunggu pelanggan untuk membuat serahan.

Hasil serbuan itu, sebanyak empat pasport Indonesia palsu berjaya dirampas dan menahan seorang lelaki tempatan disyaki bersubahat, serta seorang lelaki Indonesia yang menjadi ‘runner utama’ sindiket.

Turut disita sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan dalam kegiatan terbabit dan hasil serbuan pertama itu membawa pasukan ke sebuah rumah flat disyaki sebagai tempat menghasilkan pasport, jelasnya.

Tambah Wan Saupee, serbuan kedua yang dijalankan turut merampas satu komputer, mesin pencetak, mesin laminate serta lapan getap cap keselamatan pelbagai pintu masuk negara.

“Kita juga menemui tiga pasport yang diubah pada muka surat maklumat peribadi serta dua pelekat MALPASS (Malaysia Automated Passport System) yang disyaki palsu.

“Hasil maklumat daripada suspek membawa kepada serbuan ketiga di kawasan berhampiran dan merampas 25 getah cap keselamatan imigresen pelbagai pintu masuk Malaysia,” ujarnya.

Beberapa dokumen rasmi disyaki dipalsukan turut dirampas serta menahan seorang lelaki warga asing yang merupakan pelanggan bersama wang tunai RM1,400.

Mengulas lanjut katanya, secara keseluruhan pihaknya berjaya menahan lima lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan empat warga Indonesia.

Mereka disiasat mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63.

Wan Mohammed Saupee mengingatkan orang ramai tidak melindungi pendatang asing tanpa izin kerana tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang negara dan menggugat keselamatan serta ketenteraman awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast