PASIR GUDANG – Sembilan pasangan yang mengambil kesempatan perayaan Deepavali dengan ‘bercuti’ dalam hotel membawa padah apabila ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) malam tadi.
Pasangan berusia antara 16 hingga 24 tahun yang ditahan itu ada antaranya datang dari negeri lain termasuk empat warga Indonesia dan seorang warga Pakistan beragama Islam.
Sumber JAINJ dalam kenyataannya berkata, serbuan dilakukan di beberapa buah hotel sekitar Masai dan Pasir Gudang bermula pukul 10 malam hingga 4 pagi.
Katanya, tiga wanita yang berumur 16 hingga 20 merupakan pelajar di sekitar negeri ini dan datang ke Pasir Gudang dan Masai hanya semata-mata untuk menemui pasangan masing-masing.
“Semua tangkapan kali ini merupakan pasangan bujang dan dara sahaja, malah ada diantara mereka sudah mempunyai ikatan pertunangan serta hanya menunggu masa untuk diijabkabulkan.
“Kebanyakkan pasangan hanya memberikan alasan sudah terlalu lewat untuk pulang ke kediaman masing-masing hingga menyebabkan mereka terpaksa menyewa bilik hotel sebelum pulang keesokan hari nya,” katanya.
Menurut sumber itu, berikutan kesalahan itu, semua 18 orang tangkapan ini akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor yang membawa hukuman dengan RM3,000 atau penjara dua tahun. – MalaysiaGazette
















