KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil langkah-langkah proaktif termasuk risikan awal, pemantauan berterusan serta penempatan pasukan khas di lokasi strategik bagi memastikan keselamatan optimum sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi PDRM dalam menjamin keamanan negara dan ketenteraman awam serta melindungi maruah Malaysia di mata dunia.
Tegasnya, Sidang Kemuncak ASEAN merupakan acara berprestij, menghimpunkan para ketua negara antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama serantau dan memupuk persefahaman demi keamanan serta kemakmuran bersama.
Sebagai tuan rumah, Malaysia amat berbangga serta bertanggungjawab memastikan kelancaran dan keselamatan persidangan ini, katanya.
“Justeru, PDRM ingin menasihatkan seluruh masyarakat agar terus mematuhi undang-undang sepanjang tempoh persidangan berlangsung. Rakyat Malaysia diseru menunjukkan sikap bertanggungjawab dan mengekalkan keharmonian, ketertiban serta rasa hormat sesama masyarakat agar menjadi contoh kepada delegasi asing yang hadir.
“PDRM ingin menasihatkan agar setiap pihak sentiasa mematuhi undang-undang serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk provokasi, penyebaran maklumat tidak sahih atau perbuatan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegentaran awam.
“PDRM akan mengambil langkah sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan keharmonian negara terus terpelihara,” ujar beliau.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dengan sebaiknya sepanjang tempoh persidangan ini, terutama di kawasan sekitar pusat persidangan, pusat bandaraya Kuala Lumpur, Putrajaya dan laluan utama yang terlibat dengan kawalan trafik dan penutupan sementara.
Gunakan aplikasi navigasi, rancang masa perjalanan lebih awal, dan berikan kerjasama penuh kepada anggota polis yang bertugas.
Selain itu, Mohd Khalid meminta masyarakat sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan persekitaran, serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Keprihatinan dan kepekaan rakyat merupakan tunjang penting kepada keselamatan negara. Marilah kita bersama-sama menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini dengan semangat perpaduan, patriotisme dan kepatuhan kepada undang-undang.
“Tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman, berdaulat dan matang dalam menguruskan acara besar di peringkat antarabangsa,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















