Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 Oktober 2025.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung kajian semula pemberian khas kepada Sabah adalah terpakai dan akan dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, Kerajaan Madani tidak pernah mempersoalkan keputusan tersebut, malah komited meneliti alasan penghakiman mahkamah yang dijangka diterima dalam masa terdekat sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut berdasarkan nasihat Peguam Negara.

“Keputusan ini juga menegur kerajaan, terutama kerajaan persekutuan terdahulu, ketika ada Ahli Parlimen yang kini menjadi pembangkang pernah menjadi menteri. Jangan lupa itu,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri berkaitan Pemberian Khas Untuk Sabah di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu antara lainnya mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan kajian semula bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan bagi memperhalusi hak 40 peratus hasil bersih yang dikutip di Sabah.

Anwar turut menyangkal dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya ‘menyedut hasil Sabah’ tanpa menyumbang kepada pembangunan negeri tersebut.

“Tomahan ini mengelirukan. Komitmen Kerajaan Madani jelas dalam pembangunan Sabah. Kita bukan sahaja menghormati perlembagaan, tetapi juga memenuhi obligasi di bawah MA63,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast