KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memastikan aliran trafik berjalan lancar sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung di ibu negara.
Menurut LLM, sebagai agensi penyelia operasi lebuh raya negara, pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasa lain bagi melaksanakan pelan pengurusan trafik komprehensif sepanjang tempoh persidangan.
“LLM akan memastikan semua sistem sokongan trafik di lebuhraya seperti Papan Tanda Elektronik (VMS), Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan Pusat Pengurusan Trafik (TMC) akan berfungsi dengan optimum dalam memastikan kelancaran trafik,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bagi menjamin kelancaran perjalanan antara lapangan terbang dan pusat bandar, kerja-kerja penyelenggaraan atau pembinaan yang melibatkan penutupan lorong di lebuh raya utama akan dihentikan sementara waktu.
“Kecuali kerja-kerja yang melibatkan kes-kes kecemasan sahaja bermula 3 Oktober 2025 sehingga 29 Oktober 2025,” ujarnya.
Sementara itu, LLM meminta pengguna lebuh raya khususnya di kawasan Lembah Klang dan sekitar lokasi sidang kemuncak itu, Pusat konvensyen Kuala Lumpur KLCC supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi semua arahan dan isyarat yang diberikan, serta peka dengan pengumuman rasmi mengenai penutupan atau lencongan jalan. – MalaysiaGazette















