KUALA LUMPUR – Sejumlah 100 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) di pengkalan haram Nasir, Tumpat, Kelantan pada Isnin lalu.
Menurut PGA, rampasan dilakukan selepas pihaknya menemui beberapa tong minyak di tebing sungai semasa melakukan rondaan dalam Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tong minyak mengandungi 100 liter petrol bernilai RM260 dipercayai untuk diseludup masuk ke negara Thailand.
“Hasil rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya dan disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, dalam operasi berasingan PGA berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak masak bernilai lebih RM500 apabila menemui beberapa kotak minyak masak di pengkalan haram Jeram Perdah 2 di Pasir Mas.

“Hasil pemeriksaan terdapat 204 paket minyak masak cap Kijang 3 berada dalam kotak tersebut.
“Minyak-minyak ini disyaki untuk diseludup masuk ke negara Thailand. Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM 510,” jelasnya.
Tambah agensi itu, kesemua barang rampasan diserahkan kepada KPDN Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette















