KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan seorang lagi suspek kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan penyelewengan peruntukan wang zakat kira-kira RM120,000 bagi 28 pemohon yang tidak layak.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati, suspek yang merupakan kakitangan badan berkanun disyaki bersubahat dengan salah sorang suspek wanita yang sebelum ini telah ditahan SPRM pada Ahad lalu.
“Suspek dipercayai bersekongkol bagi memudahkan proses permohonan Insentif Modal Perniagaan yang dikeluarkan oleh MAIWP,” katanya.
Menurut sumber, suspek pertama yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh remannya tamat hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















