Tangkap layar dari video yang tular.

MELAKA – Insiden tular pergaduhan antara seorang lelaki dan pengawal keselamatan di pekarangan Masjid Selat Melaka semalam didakwa berpunca daripada teguran terhadap seorang wanita yang tidak memakai tudung.

Dalam video berdurasi satu minit sembilan saat itu, kedua-dua individu terbabit dilihat bertumbuk dan bertengkar sebelum dileraikan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.13 petang ketika pasangan suami isteri dari Kuala Lumpur itu mahu menunaikan solat Zohor.

“Ia bermula apabila pengawal keselamatan menegur wanita berkenaan supaya memakai tudung sebelum memasuki kawasan masjid.

“Bagaimanapun, suaminya yang juga pengadu kes mendakwa isterinya sudah menutup kepala menggunakan sweater,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pengawal terbabit kemudian beredar ke balai pengawal untuk memaklumkan perkara itu kepada penyelianya.

“Namun pengadu dikatakan keluar dari kenderaan dan menghentak bumbung keretanya sambil menjerit ‘Aku hendak sembahyang ni!’

“Pengawal keselamatan terbabit mempersoalkan tindakan pengadu namun ditumbuk terlebih dahulu sebelum dibalas dengan satu tendangan yang mengenai perut lelaki itu,” tambahnya.

Christopher berkata, hasil siasatan mendapati tindakan pengawal keselamatan tersebut adalah sebahagian daripada prosedur biasa bagi memastikan pengunjung mematuhi etika pemakaian dan menutup aurat di kawasan masjid.

“Pengadu bagaimanapun menarik semula laporan polis selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan perkara itu secara baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast