KUALA LUMPUR – Kerajaan menumpukan pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan modal insan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bukan hanya untuk pasaran kerjaya semata-mata, sebaliknya perkara yang melibatkan inisiatif untuk melahirkan generasi yang kreatif dan seiring dengan teknologi semasa termasuk Kecerdasan Buatan (AI).
“Sebagai sebuah negara, kita sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa kemajuan mesti berkhidmat untuk manusia, bukan sebaliknya.
“Kita perlu memastikan setiap bentuk transformasi, sama ada digital mahupun perindustrian supaya kekal berteraskan manusia. Kita tidak boleh membina bandar pintar tanpa warganya yang bijaksana, dan kita juga tidak boleh mengejar inovasi tanpa memastikan keterangkuman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Global Skills Forum (GSF) 2025.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Menurut Ahmad Zahid, pengukuhan sistem kemahiran, penyelarasan TVET serta industri 4.0 dan ekonomi hijau antara yang menjadi keutamaan kerajaan yang diusahakan menerusi pelaksanaan rangka kerja yang sedang dibentuk oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
“Kedua, memperluas peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada golongan wanita, belia, orang kurang upaya serta pekerja dalam sektor tidak formal.
“Ketiga, menggalakkan pengiktirafan bersama kemahiran rentas sempadan agar ASEAN dapat bergerak seiring sebagai satu rantau dengan tenaga kerja yang mudah alih, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan,” tambah beliau.
Terdahulu katanya, jurang antara dunia kini bukan lagi berkait mengenai negara kaya dan miskin sebaliknya masyarakat yang berkemahiran atau sebaliknya. – MalaysiaGazette
















