KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal disarankan agar berhenti bersikap ‘play victim’ dan menyerang parti sendiri menunjukkan beliau adalah “trojan horse” sebenar yang cuba merosakkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari dalam.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Batu Gajah, Nadhir Zuhair Nozi berkata, Wan Ahmad Fayhsal juga perlu berhenti menyalahkan orang lain berhubung tindakan displin yang dikenakan terhadap beliau.
“Cukuplah bermain dengan sentimen seperti ini. Bila kamu menang dalam pemilihan ARMADA yang lalu, semuanya betul belaka. Bila kamu kalah, semua dikatakan salah. Walhal pembohong itu kamu (WAF) sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Nadhir Zuhair turut menempelak dakwaan Wan Ahmad Fayhsal bahawa wujud manipulasi dan silap mata dalam pemilihan ARMADA tahun lalu, dengan menyifatkannya sebagai tuduhan berniat jahat untuk mencemar imej parti.
“Armada Bersatu Batu Gajah menegaskan bahawa dakwaan Wan Ahmad Fayhsal kononnya wujud manipulasi dan ‘silap mata’ dalam pemilihan ARMADA tahun lalu adalah berniat jahat dan jelas bertujuan untuk mencemar imej parti.
“Pemilihan parti tidak kotor, sebaliknya ia cuba dikotorkan oleh segelintir pemimpin seperti WAF yang kononnya bersih, suci dan bijak disebalik jargon-jargon beliau,” katanya.
Nadhir berkata, tindakan menggantung keanggotaan Wan Ahmad Fayhsal dibuat selepas beliau menabur fitnah terhadap kepimpinan parti berhubung isu politik wang semasa pemilihan, dan enggan menghadiri sesi Lembaga Disiplin walaupun telah dipanggil sebanyak empat kali.
“Barang diingat, WAF digantung keanggotaannya hari ini kerana kes fitnah yang dilemparkan beliau terhadap kepimpinan parti berhubung politik wang ketika pemilihan parti.
“Walhal, ianya jelas satu pembohongan. Sebab itu, beliau mengelak untuk hadir menghadap Lembaga Disiplin sebanyak empat kali atas pelbagai alasan remeh,” katanya.
Beliau mendedahkan bahawa Wan Ahmad Fayhsal berdepan satu lagi pertuduhan berhubung dakwaan memalsukan tandatangan Ketua-Ketua Cawangan di Bahagian Machang selepas hanya memperoleh 26 undi dalam pemilihan Ketua Bahagian.
“Lembaga Disiplin wajib menyegerakan kes ini yang jelas tindakan jahat, pembohongan dan jenayah,” ujarnya.
Lembaga Disiplin Bersatu pada 14 oktober memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian Wan Fayhsal selama satu penggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.
Empat lagi pemimpin akar umbi BERSATU yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.
Kedudukan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sebagai Ahli Parlimen bagaimanapun tidak terjejas memandangkan pemecatan keahlian dalam mana-mana parti tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya undang-undang bertukar parti.
Bagaimanapun mereka yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman itu berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari. – MalaysiaGazette
















