ALOR GAJAH – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dilarikan dan dicederakan bekas teman lelakinya bersenjatakan pisau dan pedang samurai, sebelum berjaya menyelamatkan diri selepas membaling pasu bunga ke arah lelaki itu dalam kejadian di Alor Gajah, semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang di tepi jalan berhampiran Masjid Ubaidah, Kampung Melaka Pindah, apabila mangsa, 35 tahun didatangi suspek berusia 38 tahun yang menaiki Proton Saga bersama seorang rakan.
Menurutnya, suspek yang dikatakan sudah beristeri dan mempunyai anak kemudian keluar dari kenderaan dan mengacukan sebilah pisau lapah sepanjang 25 sentimeter sambil memaksa mangsa masuk ke dalam kereta dengan cara menariknya dan mengugut mahu menikam dada mangsa.
“Semasa dalam kenderaan, suspek didakwa memukul mangsa bertubi-tubi di bahagian kepala dan dada sebelum berhenti di kawasan rehat yang tidak dapat dikenal pasti.
“Di situ, mangsa dipaksa berpindah ke kereta lain milik suspek jenis Proton Wira merah, sambil diacukan senjata sama sebelum kenderaan dipandu rakan suspek beredar,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambahnya, suspek kemudiannya memandu kenderaan sambil memegang sebilah pedang samurai dan menghalakan mata pedang ke arah dada mangsa.
“Mangsa yang ketakutan memberi alasan haus sebelum suspek berhenti di sebuah kedai runcit di Taman Sutera Indah, Kelemak, untuk membeli air.
“Semasa ditinggalkan dalam kereta yang berkunci, mangsa sempat menghantar mesej WhatsApp kepada bekas suaminya serta berkongsi lokasi langsung (lokasi sebenar) untuk meminta bantuan,” tambahnya.
Dzulkhairi berkata, tidak lama kemudian, suspek membawa mangsa ke pekarangan sebuah rumah kampung di Alor Gajah.
“Dua lelaki dipercayai adik mangsa kemudian tiba di lokasi dan berlaku pergelutan antara mereka dengan suspek.
“Dalam keadaan cemas itu, mangsa bertindak membaling pasu bunga ke arah suspek hingga terkena mukanya menyebabkan dia rebah sebelum polis dan ambulans tiba di tempat kejadian,” tambahnya.
Beliau berkata, mangsa mengalami luka tikaman di otot kanan akibat kejadian itu.
Dia menerima empat jahitan dan dirawat di Hospital Melaka.
“Suspek yang juga merupakan seorang pesara ditahan jam 7 malam dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah dan lapan rekod narkotik,” ujarnya.
“Motif kejadian kerana mangsa enggan melayani suspek yang pernah memujuknya untuk bersama namun ditolak kerana mangsa mengetahui suspek sudah beristeri dan mempunyai anak,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 363 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette















