NEW YORK – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan usaha menyalurkan bantuan penting ke bahagian utara Semenanjung Gaza masih berdepan cabaran besar, walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa lebih 10 hari lalu.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober, badan dunia itu bersama rakan-rakan kemanusiaannya telah mempertingkatkan usaha bantuan, khususnya di bahagian tengah dan selatan Gaza.
Namun, penutupan berterusan lintasan sempadan Zikim dan Erez, yang menjadi laluan utama ke utara Gaza, menjadikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan tersebut amat sukar, kata OCHA.
Dalam masa yang sama, rakan pelaksana PBB yang memantau pergerakan penduduk melaporkan lebih 425,000 pergerakan dari selatan ke utara Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Timbalan Pengarah Eksekutif Tabung Penduduk PBB (UNFPA), Andrew Saberton, yang baru pulang dari Gaza memberitahu, agensi itu berjaya membawa masuk sejumlah bantuan minggu lalu melalui lintasan Kerem Shalom (Karem Abu Salem).
“Kami telah mengagihkan bekalan dan peralatan perubatan, termasuk inkubator, katil bersalin dan mesin pemantauan janin, yang telah disimpan terlebih dahulu di dalam Gaza kepada hospital-hospital. Tetapi jumlah bantuan yang dibenarkan masuk selepas gencatan senjata masih jauh daripada mencukupi,” ujarnya.
OCHA menambah, daripada 10 misi kemanusiaan yang diselaraskan dengan pihak berkuasa Israel, enam telah berjaya dilaksanakan, termasuk pengumpulan tangki air, kit kebersihan dan bekalan bahan api dari lintasan sempadan ke dalam Gaza. – Agensi
















