Oleh: Rasfan Abu Bakar
BULI merupakan satu fenomena sosial yang semakin mendapat perhatian umum kerana kesannya yang mendalam terhadap kesejahteraan kanak-kanak. Definisi buli
merangkumi tingkah laku agresif yang dilakukan secara berulang dan bertujuan untuk menimbulkan ketakutan, kesakitan atau kerugian terhadap mangsa. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk buli fizikal, verbal, emosi, sosial dan juga siber.
Walaupun kesan buli sering dibincangkan dari sudut emosi dan psikologi, aspek kognitif juga memainkan peranan yang sangat penting kerana ia berkait rapat dengan perkembangan pembelajaran dan daya intelektual pelajar. Kajian kontemporari menunjukkan bahawa pengalaman buli pada usia awal boleh memberi kesan
mendalam terhadap fungsi otak, keupayaan belajar serta pencapaian akademik.
Di Malaysia, fenomena buli menjadi bualan masyarakat selepas beberapa kes berprofil tinggi dilaporkan di media. Misalnya, insiden membabitkan pelajar sekolah berasrama yang dipukul oleh rakan sebaya, kes jatuh dari bangunan asrama serta kes buli siber yang melibatkan remaja telah menimbulkan kebimbangan meluas. Data Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan terdapatnya peningkatan terhadap kes disiplin berkaitan dengan buli, khususnya selepas pembukaan semula sekolah pasca pandemik Covid-19.
Bentuk buli yang dilaporkan bukan sahaja fizikal, malah merangkumi ejekan, pengasingan sosial, penghinaan di media sosial dan lebih teruk lagi dibunuh. Fenomena ini memberi gambaran bahawa buli di Malaysia tidak lagi boleh dianggap isu kecil kerana ia memberi kesan langsung terhadap keselamatan, perkembangan emosi dan kognitif pelajar-pelajar di sekolah.
Aktiviti membuli boleh memberi kesan langsung terhadap tumpuan dan prestasi akademik para pelajar. Mangsa buli sering mengalami perasaan cemas, takut dan bimbang yang seterusnya mengganggu kemampuan mereka untuk menumpukan perhatian ketika sesi pembelajaran. Otak yang berada dalam keadaan tekanan tinggi cenderung untuk mengaktifkan mekanisme “fight or flight”, menyebabkan pelajar lebih fokus kepada usaha melindungi diri berbanding memahami isi pelajaran.
Keadaan ini boleh mengakibatkan penurunan minat belajar serta pencapaian akademik yang rendah. Sebagai contoh, penyelidikan mendapati bahawa pelajar yang kerap dibuli berisiko tinggi mengalami masalah pembelajaran kerana mereka tidak mampu memberi perhatian secara konsisten di dalam kelas (Lee & Wong, 2021).
Selain itu, kesan buli terhadap memori dan fungsi eksekutif otak juga tidak boleh dipandang ringan. Tekanan kronik yang dialami mangsa buli boleh menjejaskan struktur otak khususnya bahagian hippocampus yang berperanan dalam pembentukan memori, serta prefrontal cortex yang mengawal kemahiran membuat keputusan dan kawalan diri.
Tekanan emosi berterusan melemahkan keupayaan otak untuk menyimpan maklumat dan menghubungkannya dengan pengetahuan sedia ada. Hal ini mengakibatkan kanak-kanak lebih mudah lupa, sukar membuat keputusan rasional dan lambat menyelesaikan masalah yang memerlukan pemikiran kritis. Situasi ini secara langsung menjejaskan perkembangan kognitif jangka panjang mereka.
Buli juga berupaya mencetuskan pemikiran negatif dan rasa rendah diri yang mendalam. Mangsa sering menilai diri mereka sebagai tidak berguna, lemah atau kurang pintar. Corak pemikiran sebegini terbentuk akibat penghinaan berulang yang kemudiannya meresap ke dalam sistem kognitif mereka.
Kepercayaan negatif terbina ini mengekang pelajar daripada mencuba perkara baharu atau menunjukkan kebolehan sebenar kerana mereka yakin akan gagal. Pemikiran negatif yang berulang secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan otak, menjadikan mereka lebih mudah berputus asa serta menghadkan perkembangan daya kreativiti.
Lebih membimbangkan, buli memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan kognitif pelajar. Mangsa yang dibuli secara konsisten dalam tempoh masa panjang
berpotensi mengalami gangguan pembelajaran dan kesihatan mental hingga ke alam remaja dan dewasa. Kajian menunjukkan bahawa pengalaman buli pada usia kanak-
kanak meningkatkan risiko kemurungan, kebimbangan dan gangguan stres pasca trauma (PTSD), perkara ini semuanya mempunyai kaitan rapat dengan kerosakan
fungsi kognitif (Garcia & Ortega, 2022). Ini bermakna, kesan buli tidak hanya berhenti di bangku sekolah tetapi boleh berlarutan dan mengganggu kebolehan kognitif seseorang dalam jangka hayatnya.
Selain itu pelajar-pelajar yang menjadi mangsa buli sering kehilangan motivasi untuk belajar. Persekitaran sekolah yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk menimba ilmu berubah menjadi tempat yang menakutkan bagi mereka. Hal ini menyebabkan pelajar lebih banyak menghabiskan masa memikirkan cara untuk mengelak daripada dibuli berbanding memberi perhatian kepada tugasan sekolah atau aktiviti akademik.
Kekurangan motivasi ini memberi kesan domino iaitu penurunan pencapaian akademik, rasa ketinggalan berbanding rakan sebaya dan akhirnya menjejaskan peluang masa depan mereka dalam pendidikan.
Di Malaysia, laporan media turut menunjukkan ada pelajar yang memilih untuk berhenti
sekolah kerana tidak sanggup lagi menghadapi tekanan buli. Fenomena ini
menunjukkan betapa seriusnya kesan buli terhadap motivasi dan daya tahan kognitif
pelajar di negara ini.
Dalam konteks sosial dan pendidikan, isu buli perlu ditangani secara serius kerana ia
bukan sekadar masalah disiplin, tetapi juga masalah perkembangan kognitif dan
intelektual. Guru, ibu bapa dan masyarakat berperanan penting dalam memastikan
persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif. Usaha pencegahan seperti
program kesedaran anti-buli, latihan pengurusan emosi dan sokongan psikososial
kepada mangsa perlu diperkukuhkan. Kajian terkini menekankan bahawa intervensi
awal mampu mengurangkan kesan buruk buli terhadap perkembangan kognitif, serta
membantu kanak-kanak membina semula keyakinan diri dan fungsi pembelajaran
mereka (Rahman et al., 2023).
Kesimpulannya, buli memberikan kesan mendalam terhadap perkembangan kognitif
para pelajar. Ia bukan sahaja menjejaskan tumpuan, memori dan prestasi akademik,
tetapi juga membentuk corak pemikiran negatif serta mengurangkan motivasi untuk
belajar. Lebih merisaukan, kesannya boleh berlanjutan hingga ke usia dewasa dimana
ia menjejaskan kebolehan kognitif serta kesejahteraan mental individu.
Fenomena buli di Malaysia yang semakin mendapat liputan membuktikan bahawa isu ini tidak boleh dipandang ringan. Justeru itu, pendekatan bersepadu yang melibatkan sekolah, keluarga dan komuniti sangat diperlukan untuk memastikan kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat dan menyokong perkembangan kognitif mereka. Dengan langkah proaktif, kita bukan sahaja dapat mengurangkan kadar buli, tetapi juga melindungi masa depan generasi muda agar mereka dapat mencapai potensi penuh dari segi akademik, emosi dan kognitif.
Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA)
















