Anggota bomba dan DBKL mengalihkan pokok besar yang tumbang ke atas kereta dan landasan monorel berhampiran Hotel Concorde di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disaran untuk menjalankan pemeriksaan yang ketat terhadap pokok-pokok bagi mengawal insiden pokok tumbang.

Profesor di Jabatan Sains Perhutanan dan Kepelbagaian Biologi, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd Hasmadi Ismail berkata, DBKL perlu melakukan pemeriksaan yang ketat terhadap pokok-pokok di kawasan bandar berikutan faktor pereputan pada akarnya.

Tambah beliau, kebanyakan pokok tempatan di kawasan bandar merupakan pokok berumur dan kemungkinan berpenyakit yang berisiko untuk tumbang ketika hujan dan ribut.

“Di bandar seperti Kuala Lumpur keadaan seperti pokok yang tua dan reput di bahagian akar, bila angin dan ribut yang kuat akan mempercepatkan tempoh ia tumbang,” katanya apabila dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah beliau, pokok-pokok di persekitaran bandar tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk akarnya membesar dan mencengkam tanah bagi mengukuhkan kedudukan terutama pokok bersaiz besar.

“Kawasan di bandar ini, pokok-pokok ditanam di tepi-tepi jalan yang terhad untuk akarnya berkembang sehingga menggangu penstrukturan pokok tersebut untuk mencengkam tanah,” katanya.

Menurut Mohd Hasmadi, pada waktu ini DBKL seharusnya melakukan teknik pemangkasan yang baik dan sesuai supaya pokok tersebut stabil berikutan saiz dan kelebatan daunnya.

“Tiga bulan ini ialah waktu hujan, jadi sebaiknya pihak berkuasa yang menjaga pokok sebagai aset bandar ini melakukan pemangkasan yang professional.

“Di mana pokok-pokok yang mempunyai canopy yang besar dan dahan yang panjang perlu dipotong waktu sekarang kerana ia tidak sesuai dan terlalu besar sehingga memudahkannya untuk tumbang kerana ribut,” ujarnya.

Beliau berkata, pemilihan jenis pokok juga perlu dipertimbangkan melalui kesesuaian sistem akar dan saiznya untuk ditanam di persekitaran bandar kerana ekosistem di sini tidak sama seperti di hutan.

“Di bandar ini, tidak semua pokok sesuai untuk ditanam, yang sesuai hanyalah pokok hiasan, jadi pemilihan species ini haruslah sesuai dengan sistem akar dan saiznya bagi menjamin ekosistem yang sesuai baginya,” katanya

Beliau menegaskan, walaupun pokok-pokok yang besar dan lama merupakan aset, tetapi jika ia menjejaskan keselamatan awam maka pihak berkepentingan seharusnya mengambil tindakan sewajarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast