KUALA LUMPUR – Sehingga September 2025, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM1.12 billion di Kelantan, dengan sektor pembuatan menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri.
Pelaburan ini telah mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Selain itu, pelaburan komited berjumlah RM736 juta yang melibatkan sektor pertanian, perkhidmatan dan industri dijangka dapat menjana lebih 1,300 peluang pekerjaan baharu apabila realisasinya selesai kelak.
ECERDC berkata, projek jambatan Palekbang–Kota Bharu kekal sebagai salah satu inisiatif transformasi utama yang dilaksanakan olehnya di Kelantan.
“Setelah siap dibina nanti, jambatan ini akan memperkukuhkan ketersambungan jalan raya antara Kota Bharu dan Tumpat, mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar, serta membuka laluan pelaburan baharu di daerah utara Kelantan.
“Infrastruktur strategik ini dijangka merancakkan aktiviti perdagangan, logistik dan pelancongan tempatan, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada fasa pertumbuhan ekonomi seterusnya dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan ECERDC memainkan peranan penting dalam merangka pelan pembangunan jangka panjang negeri itu serta pembangunan serantau.
Katanya, Kelantan akan memastikan setiap inisiatif, sama ada dari segi pembangunan infrastruktur mahupun fasilitasi pelaburan, berjalan seiring dengan keutamaan pembangunan negeri.
Perkongsian strategik ini membolehkan Kelantan menyokong projek-projek berimpak tinggi yang memperkukuh sektor ekonomi utama, membuka peluang pekerjaan berkualiti sertameningkatkan taraf hidup rakyat.
“Momentum pembangunan Kelantan yang semakin meningkat ini mencerminkan keyakinan kukuh pelabur dan semua pihak berkepentingan terhadap potensi negeri untuk berkembang dalam jangka masa panjang. Projek-projek infrastruktur utama seperti Jambatan Palekbang–Kota Bharu yang kini telah mencapai tahap siap 22%, serta projek sambungan pengangkutan utama persekutuan seperti rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)) akan memperbaiki kesalinghubungan dan mengukuhkan kedudukan Kelantan dalam koridor ekonomi serantau,” katanya.
ECERDC menambah, projek-projek utama seperti Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), serta naik taraf jalan penghubung utama, terus memperkukuh akses di seluruh negeri.
Inisiatif ECERDC akan melengkapi dan mempercepat pembangunan ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan, pengembangan industri serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif di Kelantan.
Sebagai kesinambungan kepada usaha tersebut, ECERDC sedang giat melaksanakan beberapa projek strategik bagi memperkukuh ekosistem industri negeri dan mempertingkatkan ekonomi rentas sempadan.
Antaranya Taman Industri Tok Bali (TBIP) – meningkatkan infrastruktur industri bagi menarik pelabur dalam sektor marin dan logistik; menaiktaraf fasiliti dan Jeti Tok Bali – memperkukuh kapasiti pelabuhan serta peranan Tok Bali sebagai hab logistik Utama dan naik taraf kemudahan awam dan infrastruktur bandar sempadan di Rantau Panjang – menyokong pertumbuhan perdagangan sempadan dan pelancongan melalui kemudahan yang lebih baik.
Selain itu, ECERDC turut meneruskan pembangunan Loji Rawatan Air Kelar (Fasa 2) bagi menambah kapasiti bekalan air ke kawasan Pasir Mas dan sekitarnya.
Pada masa sama, pembangunan Zon Pelancongan Bersepadu Geting di Tumpat sedang giat dijalankan bagi menyokong strategi kepelbagaian pelancongan negeri serta menggalakkan keusahawanan tempatan.
Dalam sektor pertanian, ECERDC telah menyiapkan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) di Pasir Puteh yang diserahkan kepada kerajaan negeri pada 27 Ogos 2025 dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2026 sekali gus membantu penternak kecil menembusi pasaran lebih stabil, meningkatkan pengeluaran susu berasaskan nilai tambah serta mengukuhkan pendapatan mereka secara berterusan. – MalaysiaGazette
















