KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang menyindir cadangan parti itu supaya menghentikan hidangan arak dalam pesawat Malaysia Airlines dengan kata-kata “kalau nak larang arak, buat sahaja Pas Airlines” sebagai biadab.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, kenyataan tersebut menggambarkan kejahilan pemimpin DAP itu terhadap Perlembagaan Persekutuan, yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, serta menunjukkan sikap angkuh dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam.
Malah, tegas beliau, sindiran sebegini bukan sahaja menghina identiti Islam dalam negara, bahkan memperlekeh tanggungjawab moral yang diamanahkan kepada kerajaan.
Jelas beliau, Malaysia Airlines bukan milik persendirian kerana dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Berhad melalui Malaysia Aviation Group (MAG), dengan itu tertakluk kepada dasar kerajaan.
Oleh kerana majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, maka sebarang polisi yang membabitkan khidmat awam seperti penerbangan wajib menghormati syariat Islam, ujarnya.
“Sindiran biadab seperti “Pas Airlines” bukan sahaja mencabar kesabaran umat, tetapi menelanjangkan sikap sebenar mereka yang tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi negara.
“Pengharaman arak dalam penerbangan MAS adalah tuntutan asas Islam, bukan paksaan agama terhadap bukan Islam. Seperti mana majlis rasmi kerajaan mengharamkan arak, syarikat penerbangan milik kerajaan juga perlu mematuhi prinsip yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohamed Sukri yang kecewa dengan kenyataan Lip Eng mendakwa, sikap DAP konsisten mempertahankan arak, bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan beberapa pimpinan mereka sebelum ini telah menunjukkan kecenderungan mempertahankan industri arak dan promosi alkohol secara terbuka.
Malah, sikap seperti ini memperlihatkan orientasi DAP yang liberal dan tidak menghormati nilai moral serta sensitiviti agama, malah sering memperlekehkan usaha Islam untuk membina masyarakat berakhlak dan sejahtera.
Namun, beliau mendakwa Krajaan Madani terus tunduk pada DAP kerana ketika di bawah Kerajaan Perikatan Nasional dahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan larangan penjualan arak di kedai serbaneka dan runcit di Kuala Lumpur.
Namun pada Disember 2023, Kerajaan Madani menarik balik larangan tersebut setelah menerima tekanan politik daripada DAP dan kputusan ini menunjukkan betapa lemahnya prinsip moral kerajaan hari ini dalam menjaga kepentingan agama dan sosial.
“Semua agama menolak arak. Larangan arak bukan hanya hukum Islam. Hampir semua agama besar dunia turut mengharamkan atau mengecam minuman memabukkan. Oleh itu, menolak arak bukan isu kaum atau agama, tetapi nilai sejagat yang diiktiraf oleh semua tradisi keagamaan,” ujar beliau.
Selain isu pengharaman hidangan arak, katanya, Pemuda Pas Selangor turut menuntut agar kru penerbangan wanita diberi hak menutup aurat dengan sempurna, termasuk bertudung dan berpakaian menepati syariat, selaras dengan prinsip hak beragama yang dijamin Perlembagaan, serta menzahirkan imej Islam sebagai agama Persekutuan di pentas antarabangsa.
Jika kerajaan benar-benar mengangkat slogan “Malaysia Madani”, maka prinsip kebebasan beragama perlu dipraktikkan dengan adil kepada Muslim yang ingin menunaikan tuntutan agamanya di tempat kerja.
Larangan ini adalah perintah tegas untuk menjaga akal, akhlak dan kehormatan manusia. Maka, penyajian arak di bawah jenama milik kerajaan adalah pelanggaran terhadap prinsip agama dan moral bangsa.
Lantaran itu, Pemuda Pas Selangor menegaskan perjuangan menolak arak dan menegakkan syariat bukan retorik politik, tetapi tanggungjawab agama dan moral. Umat Islam wajib mempertahankan kesucian Islam di ruang awam, termasuk dalam sektor penerbangan milik kerajaan. – MalaysiaGazette
















