Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan isu melibatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu hanyalah satu salah faham berkaitan modul latihan ketenteraan.

Beliau berkata, semangat dan komitmen pasukan beruniform berkenaan tidak wajar disalah tafsir kerana ia sebahagian daripada latihan yang telah dirancang berbulan-bulan lamanya.

“Sudah selesai (kes Maritim Malaysia) pun, pertemuan dibuat dengan masjid, imam semua sudah diberikan penerangan dan polis sudah NFA (tiada tindakan lanjut).

“Cuma satu salah faham. Bila diolah macam itu semalam dia jadi lain. Itu saya kena jelaskan segera sebab KDN ini dinamik macam-macam perkara setiap hari,” katanya ketika berucap sempena Himpunan Bulanan KDN, hari ini.

Saifuddin mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang membangkitkan kebimbangan berhubung latihan Maritim Malaysia di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September lalu yang disifatkan sebagai mengulangi peristiwa Memali 1985.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran dengan memakai kasut, memasuki ruang solat wanita dan melakukan penggeledahan, dengan mendakwa mereka adalah polis.

Saifuddin Nasution berkata, latihan itu dijalankan sepanjang laluan dari Kuala Terengganu hingga ke Kuantan, dengan beberapa lokasi dijadikan checkpoint termasuk terminal bas, pasar dan beberapa premis awam.

Malah katanya, masjid berkenaan adalah salah satu tempat yang dijadikan persinggahan untuk mendirikan solat, semata-mata.

Katanya lagi, beliau sendiri telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan dan mendapati tiada sebarang tindakan luar biasa seperti yang didakwa.

“Saya dah tengok semua CCTV. Tak ada yang luar biasa. Saya pun hubungi Ketua Polis Terengganu untuk mendapat pengesahan. Ada tak aduan polis dibuat? Ada, oleh imam masjid pada 29 September, iaitu 10 hari selepas insiden.

“Pihak polis kemudian bertemu pengurusan masjid dan Ahli Parlimen Marang, dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa ia cuma salah faham,” katanya.

Saifuddin berkata, kes itu telah diklasifikasikan sebagai NFA selepas perbincangan dijalankan secara baik antara pihak polis, pengurusan masjid dan Ahli Parlimen Marang.

“Kesimpulan daripada pertemuan yang dibuat oleh polis selepas menerima aduan itu adalah tiada yang luar biasa, cuma wujud sedikit salah faham dan kedua-dua pihak setuju berpuas hati. Itulah yang berlaku,” katanya.

Beliau bagaimanapun kesal apabila isu itu kembali dibangkitkan di Parlimen dan digambarkan seolah-olah berlaku serbuan komando di dalam masjid.

“Janganlah sampai exaggerate (membesar-besarkan) satu program latihan macam itu untuk tujuan melahirkan pasukan elit, kemudian bercakap secara sepihak tanpa menimbangkan faktor sebenar. Bila dikaitkan dengan kononnya serbuan komando dan niat membunuh, itu dah melampau-lampau,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast