Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) komited memastikan Peraturan Penyahutanan EU (EUDR) tidak akan memberi kesan negatif kepada sektor agrikomoditi negara.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beberapa langkah proaktif telah diambil oleh kementeriannya bagi mengeluarkan Malaysia daripada status risiko standard di bawah EUDR.

“Kita ada tiga risiko dalam EUDR ini, risiko rendah, risiko standard dan risiko tinggi. Malaysia diletakkan di bawah risiko standard.

“Dengan mengambil pendekatan whole of government approach (pendekatan seluruh kerajaan), mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Jun lalu memutuskan supaya satu jawatankuasa khas di peringkat nasional ditubuhkan bagi menangani kesan pelaksanaan EUDR, pengklasifikasian Malaysia dalam kategori risiko standard dan membincangkan tindakan susulan yang sewajarnya,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Chong Zhemin (Kampar – PH) bertanya mengenai status perkembangan dan pencapaian KPK untuk mengeluarkan Malaysia daripada status risiko standard di bawah EUDR.

Mengulas lanjut, Johari berkata, Jawatankuasa Khas Pelaksanaan EUDR diterajui secara bersama KPK, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta kementerian dan agensi lain yang berkaitan.

Jelasnya, jawatankuasa berkenaan berfungsi untuk membincangkan pelaksanaan EUDR yang timbul merentasi bidang kuasa pelbagai kementerian termasuk agensi berkaitan.

Tambah beliau, ia termasuk membincangkan isu yang berpotensi menjejaskan ketepatan data terkini yang diserahkan oleh Malaysia untuk Laporan Penilaian Sumber Hutan Global (FRA) kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dalam proses pengklasifikasian Malaysia bagi pelaksanaan EUDR.

Selain itu, katanya, skop lain adalah dengan memastikan kriteria kuantitatif dan kualitatif seperti yang diguna pakai oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam proses pengklasifikasian status risiko negara dapat dipenuhi dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan berkaitan tindakan pematuhan yang perlu dilaksanakan kementerian atau agensi dalam mematuhi keperluan utama pelaksanaan EUDR.

“Ia untuk memastikan jawatankuasa ini berfungsi sebagai platform strategik untuk merumuskan pendirian negara secara bersepadu dalam menangani atau menyangkal kenyataan yang tidak tepat berkaitan maklumat yang dihantar,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast