KUALA LUMPR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Penerbangan Malaysia (NUFAM) menggesa agar satu garis panduan rasmi dan jelas dirangka bagi menangani isu yang dibangkitkan oleh anak kapal beragama Islam berhubung penyajian minuman beralkohol dalam penerbangan Malaysia Airlines serta syarikat penerbangan tempatan lain.
Sekretariat NUFAM berkata, pihaknya kerap menerima beberapa aduan dan pertanyaan daripada ahli yang beragama Islam mengenai sama ada dasar sedia ada syarikat penerbangan menghormati tuntutan agama, terutamanya ketika bulan Ramadan, mempunyai panduan khas yang menjelaskan hak dan tanggungjawab mereka dalam situasi berkaitan penyajian alkohol.
Menurut NUFAM, isu berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana anak kapal yang berpuasa boleh berdepan konflik profesional dan peribadi apabila diminta menghidangkan alkohol kepada penumpang.
“Adalah penting supaya sebarang dasar mengenai penyajian alkohol dibuat dengan jelas, dilaksanakan secara konsisten, dan dimaklumkan kepada kakitangan serta penumpang,” kata kenyataan itu.
NUFAM menambah, setakat ini tiada dasar rasmi yang diterbitkan secara umum oleh mana-mana pihak berkuasa yang memperincikan hak anak kapal Muslim dalam perkara tersebut.
Walaupun terdapat laporan bahawa sesetengah penerbangan mungkin mempunyai sekatan terhadap penyajian alkohol, butiran terperinci mengenai pelaksanaannya belum diperjelaskan sepenuhnya.
Oleh itu, NUFAM menegaskan pertimbangan keselamatan penerbangan perlu kekal sebagai keutamaan utama, dan sebarang keputusan hendaklah berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan penerbangan sedia ada.
Bagi menangani isu ini, NUFAM menggesa perbincangan telus diadakan bersama pihak pengurusan syarikat penerbangan, pengawal selia dan pihak berkuasa agama termasuk Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kesatuan itu turut mencadangkan supaya satu mesyuarat meja bulat peringkat Parlimen diadakan melibatkan semua pihak berkepentingan bagi membincangkan dasar yang seimbang antara tuntutan agama, kebajikan anak kapal, keselamatan dan kepuasan penumpang.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah garis panduan jelas bagi anak kapal Muslim yang ingin dikecualikan daripada menghidangkan alkohol atas sebab agama; prosedur menguruskan permintaan penumpang apabila anak kapal tidak dapat menghidangkan alkohol; komunikasi yang telus mengenai dasar kepada penumpang dan anak kapal; serta program latihan bagi meningkatkan kefahaman tentang hak dan tanggungjawab kakitangan penerbangan.
NUFAM turut mengalu-alukan anak kapal Muslim yang mempunyai pengalaman atau kebimbangan berhubung isu ini untuk tampil melalui saluran rasmi kesatuan dengan jaminan kerahsiaan maklumat. – MalaysiaGazette















