Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri membidas kejadian pesta arak dalam Kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael di Ipoh, Perak pada 27 September lalu.

Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun dianjurkan selepas sesi persekolahan namun pesta itu jelas melanggar peraturan meskipun melibatkan penganjuran oleh pihak luar.

“Saya setuju suasana sekolah itu mesti mengelakkan daripada walaupun selepas waktu sekolah, dewan sekolah tidak harus digunakan untuk kegiatan-kegiatan yang melanggar peraturan.

Walaupun disewa oleh badan bebas. Ada arak, perjudian, ini bukan mendidik anak-anak jadi melanggar konsep falsafah pendidikan kita sendiri,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Anwar, sekali pun diadakan di sekolah bukan Islam namun penganjuran pesta arak malah yang turut melibatkan aktiviti perjudian adalah bertentangan dengan falsafah dan prinsip pendidikan dalam negara.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tambun menyeru supaya masyarakat bukan Islam tidak menyalahtafsirkan ketetapan dan peraturan sebagai melanggar hak asasi mereka.

“Kita nak minta rakan-rakan kita, kita bukan nak larang hak mereka tetapi sekolah tempat didikan, ilmu dan moral juga nilai. Kalau kita izinkan sedikit, secebis alat perjudian atau arak yang ditolak di kawasan sekolah saya minta rakan-rakan kita faham, ini sekolah termasuk sekolah bukan Islam.

“Anak-nak bukan Islam bukan diajar daripada kecil untuk minum arak atau berjudi. Jadi budaya Malaysia itu mesti budaya keseluruhannya, di luar itu hak mereka kita tidak pertikai, buatlah di dewan lain,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperhalusi untuk memperketatkan peraturan sekolah bagi mengelak kejadian yang sama berulang pada masa akan datang.

Sekarang KPM meneliti supaya peraturan-peraturan ini. Kalau sekolah itu swasta itu ada masalah sikit, kena lihat bidang hak kuasa kerajaan kalau milik kerajaan saya tidak fikir harus langgar prinsip ini.

“Saya cenderung untuk tidak membenarkan pesta-pesta seperti itu (arak) termasuk pesta-pesta kerajaan sama ada selepas atau sebelum seperti yang berlaku baru-baru ini,” tambah beliau.

Terdahulu dilaporkan, Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib mendedahkan daripada maklumat diperolehinya pesta arak dikatakan berlaku sempena Annual Reunion Banquet kali ke-90 oleh bekas pelajar melibatkan kehadiran hampir 800 alumni.

Muhammad Ismi turut mengingatkan KPM sendiri telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 3 Tahun 2018 yang dengan jelas melarang sekolah menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras, rokok dan perjudian.

Sehubungan itu beliau menggesa KPM mengambil tindakan segera.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast